Mahasiswa Khuatir Skim Rumah Pertamaku Tambah Beban Hutang Graduan


SHAH ALAM 31 MAC : Skim Rumah Pertamaku (SRP) dikhuatiri akan membebankan graduan yang ingin memulakan kehidupan baru selepas tamat pengajian.

Hal ini kerana, tawaran menarik yang disediakan kepada golongan muda mampu mencairkan hati mereka tanpa menyedari akan terikat dengan beban hutang yang tinggi walaupun baru bergelar pekerja.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hilman Idham ketika dihubungi TV Selangor, tawaran SRP ini sekaligus membebankan lepasan graduan yang sepatutnya memberi tumpuan untuk membangunkan negara dan bukannya memikirkan tentang beban hutang yang ditanggung.

"Saya melihat skim ini, yang pertama dia meletak kebertanggungjawaban kepada pemerintah.

" Walaupun skim ini dilihat baik tapi dalam masa yang sama sangat membebankan mahasisiwa kerana mahasiswa akan juga dibebankan dengan hutang-hutang tambahan yang lain seperti hutang pinjaman yang harus dibayar seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sebagainya," katanya.

Meskipun tidak menolak kebaikan skim yang disediakan oleh kerajaan ini, namun menurut Hilman, kerajaan perlulah memikirkan hutang-hutang lain yang ditanggung
oleh graduan yang mengambil pinjaman pelajaran untuk menanggung sesi pengajian mereka.

Jelas Hilman lagi, selain memberi tawaran pinjaman 100 peratus, tangga gaji RM3,000 ke bawah yang melayakkan golongan ini disifatkan tidak selari dengan tawaran gaji yang diberikan syarikat untuk mereka yang baru bekerja.

"Tingkat gaji yang diletakkan RM3000, saya tak fikir jumlah graduan yang baru grad hari ini boleh mencapai tahap gaji yang sebegitu tinggi, paling mewah pun boleh dapat hingga RM 2,000, maksudnya mereka memang benar-benar mahu graduan ambil skim ini dan kemudian terbeban lagi,"tambah Hilman.

Beliau turut menyarankan kerajaan supaya membuat kajian terperinci mengenai permohonan yang dibuat graduan sebelum memberi kelulusan untuk mengelakkan mereka menanggung bebanan hutang yang banyak.

"Kerajaan juga harus lihat apakah pemohon mempunyai hutang dengan PTPTN, hutang bank, kad kredit dan sebagainya, itu juga harus disemak dan saya fikir yang mampu milik ada individu yang tidak mempunyai hutang atau bebanan kepada negara yang tinggi," ujar beliau.

Skim Rumah Pertamaku diumum Najib dalam pembentangan Bajet 2011, tahun lalu.

Skim ini mendapat kerjasama 25 institusi kewangan untuk rumah berharga antara RM100,000 dan RM200,000 dengan tempoh pinjaman sehingga 30 tahun.