Sunday, December 7, 2014

Kepemimpinan ulama dan salah faham mengenainya

Kepemimpinan ulama dan salah faham mengenainya-    alhusseyn


Kemelut menteri besar Selangor selama beberapa bulan yang berakhir dengan pelantikan Azmin Ali pada 23 September itu dikatakan menyebabkan krisis teruk dalam kepemimpinan PAS hingga mengakibatkan parti itu kini berpecah kepada lebih daripada dua kumpulan, dan sudah ada pihak yang menuntut presidennya berundur.

 Tentulah bukan kemelut atau krisis menteri besar Selangor (MBS) itu yang menjadi faktor berpecahnya parti PAS, ‘kan!

 Kemelut itu hanya menjadi sebab terpecahnya bisul yang sudah lama menanah dan hanya menunggu masa untuk pecah sahaja. Ia suatu kebetulan saja. Faktor sebenarnya bukan itu.

 Lalu apakah faktor sebenarnya? Untuk mengetahui faktor sebenarnya tidaklah begitu susah. Lihatlah kepada apa yang heboh diperkatakan di kalangan dalaman PAS sejak sebelum kemelut MBS itu dan juga selepasnya. Perkara yang heboh diperkatakan itu ialah mengenai hal kepemimpinan ulama dan bukan ulama di dalam PAS. Itulah yang heboh diperkatakan sejak sekian lama (tiga-empat tahun atau lebih) sebelum tercetusnya kemelut MBS itu dan masih diperkatakan hingga ke hari ini.

 Namun faktor sebenarnya pun bukanlah kepemimpinan ulama itu sendiri. Kepemimpinan ulama di dalam PAS yang bermula dengan era kepemimpinan Yusuf Rawa itu tidak pernah menjadi masalah.

 Yang menimbulkan masalahnya ialah apabila sekumpulan ulama di dalam kepimpinan PAS mulai berasa terancam kedudukan mereka disebabkan kehadiran tokoh-tokoh bukan ulama (lebih popular dengan panggilan "profesional"), yang mulai mendapat kepercayaan para ahli untuk memimpin parti itu; dan mereka pun melancarkan kempen untuk mempertahankan kedudukan mereka.

 Di situlah bermulanya bibit-bibit perpecahan yang sekarang sedang membarah di dalam organisasi parti itu. Ia mencapai puncaknya apabila PAS enggan menyatakan persetujuannya dengan keputusan PKR dan DAP melantik Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi MB Selangor, menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 Keengganan PAS atau lebih tepatnya keengganan Presiden PAS, Dauk Seri Abdul Hadi Awang itu kurang disenangi sebahagian pimpinan PAS khasnya mereka yang bukan golongan ulama. Dan pernyataan kurang bersetuju golongan ini telah mendapat reaksi yang agak keras pula daripada golongan ulama yang semakin menampakkan sokongan mereka kepada keputusan Presiden itu.

 Ada pelbagai analisa mengenai sebab-sebab mengapa Hadi tidak bersetuju dengan pelantikan Dr Wan Azizah. Antaranya timbullah cerita yang hubungan beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memang sudah lama tidak mesra dan tidak sehaluan. (Sebab apa? Saya fikir lebih baik kita tak usah sentuh hal itu).

 Maka saya ingin kembali kepada hal tadi – golongan ulama dan bukan ulama di dalam PAS. Alkisahnya kemasukan golongan bukan ulama khususnya profesional ke dalam PAS berlaku secara agak besar di zaman Reformasi, iaitu zaman kebangkitan rakyat berikutan Anwar dizalimi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (1998), dan zaman yang menyaksikan kegemilangan pimpinan Datuk Fadzil Noor sebagai Presiden PAS

 Ustaz Fadzil waktu itu mengalu-alukan kemasukan para profesional dan intelektual menjadi ahli PAS. Bahkan sikapnya yang terbuka dan sanggup mengambil risiko membawa PAS berjuang menuntut keadilan buat Anwar itu adalah faktor utama mengapa ramai golongan profesional dan intelektual masuk PAS. Dan itulah juga faktornya yang mengubah pandangan negatif masyarakat bukan Islam terhadap PAS menjadi positif.

 PAS sejak peristiwa Reformasi di zaman Ustaz Fadzil itu sudah mendapat wajahnya yang baru, tanpa mengubah dasar kepimpinan ulamanya. Saya sempat beberapa kali bersama dengan Ustaz Fadzil dalam pentas ceramah (saya baca puisi), majlis makan malam dan sesi wawancara untuk majalah Detik.

 Masih ingat lagi dalam sesi wawancara itu saya bertanya apakah mungkin pada suatu hari nanti PAS akan dipimpin oleh presiden yang bukan ulama? Tanpa teragak-agak beliau menjawab: Ya, mungkin.

 Lalu bagaimana dengan dasar kepimpinan ulama? Tanya saya. Dan jawapan Ustaz Fadzil kepada soalan inilah yang kembali bangkit dalam memori saya sebagai reaksi kepada kempen golongan ulama PAS hari ini yang cuba mengawal seboleh-bolehnya agar semua pimpinan PAS peringkat atasan terdiri daripada golongan ulama. 

 Apa jawapan Ustaz Fadzil itu? Jawabnya: Dasar kepimpinan ulama di dalam PAS bukan bermakna yang presiden PAS semestinya ulama, dan orang yang bukan ulama tidak boleh sama sekali menjadi Presiden PAS walaupun dia layak dan mendapat kepercayaan ahli-ahli.

 Jelas Ustaz Fadzil lagi: PAS sudah menetapkan dasar-dasarnya dan PAS mempunyai Majlis Syura Ulama yang menjadi pengawal kepada dasar-dasar kepimpinan ulama di dalam PAS. Siapa sahaja yang menjadi presiden mesti patuhi dasar-dasar tersebut dan mesti tunaikan amanah ahli-ahli PAS kepadanya agar melaksanakan dasar-dasar Islam yang telah termaktub; manakala yang memerlukan ijtihad pula akan dilakukan oleh Majlis Syura.

 Lebih kurang begitulah penjelasannya. Kita boleh dapatkan penjelasan tersebut secara verbatim kalau kita merujuk kepada majalah Detik yang berkenaan. Saya tidak ingat lagi tarikhnya dan saya pun tidak simpan naskah tersebut. Tetapi saya pasti dan positif, begitulah yang dimaksudkan.

 Hal ini telah pun saya nyatakan kepada beberapa orang kawan apabila ditimbulkan perkara krisis atau konflik antara ulama dan profesional di dalam PAS sejak pemergian Ustaz Fadzil ke alam baqa, dan jawatan presiden itu disandang oleh Hadi.

 Soalnya, kenapakah golongan ulama di dalam PAS selepas era Ustaz Fadzil menjadi tidak mesra dengan golongan yang bukan ulama sebagai pemimpin?

 Kalau Ustaz Fadzil pernah menegaskan demikian mengenai dasar kepimpinan ulama itu, maka siapakah pula yang membuat tafsiran berbeza daripada itu selepas ketiadaan beliau? Dan kenapakah pula terjadi demikian?

 Saya kira masalahnya ialah masalah keyakinan diri. Ustaz Fadzil begitu sekali percaya dan yakin kepada struktur dan sistem kepimpinan dalam organisasi PAS yang dipimpinnya, menyebabkan dia tidak sedikit pun bimbang kepada masa depan kepimpinan ulama di dalam PAS.

 Dan tidak kurang pentingnya ialah keyakinan diri yang ada pada pada ulama dalam kepimpinan PAS waktu itu, khasnya mereka yang menduduki Majlis Syura Ulama. Keyakinan diri itu menyebabkan tidak timbul kebimbangan atau rasa terancam oleh kehadiran ramai golongan profesional.

 Apabila golongan ulama melancarkan kempen (ala-ala Umno itu) untuk mengawal dan memastikan agar calon-calon dari kalangan mereka yang dilantik ke jawatan atasan dalam pimpinan, itu jelas menunjukkan bukan sahaja mereka kurang yakin dengan kelayakan mereka sendiri tetapi juga menunjukkan bahawa mereka mendahulukan kepentingkan politik lebih daripada kepentingan agama.

 Maka di situlah bermulanya kecelaruan di dalam kepemimpinan PAS. Dan apabila itu berlaku di kalangan ahli-ahli Majlis Syura Ulama sendiri maka bayangkanlah. Ia umpama virus yang merosakkan. Tidak hairanlah hari ini imej ulama pada keseluruhannya begitu menyedihkan sekali. Masyarakat seperti sudah hilang kepercayaan kepada ulama.

 Sesungguhnya ini suatu tragedi yang perlu segera disembuhkan. Kembalilah segera kepada kepentingan agama, dan kurangkanlah berpolitik di dalam parti. – 5 Disember, 2014.sumber
Anda mungkin jug
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers