Rafizi: PKR akan keluarkan bukti baru salah laku keluarga Taib Mahmud

Rafizi: PKR akan keluarkan bukti baru salah laku keluarga Taib Mahmud

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH
February 13, 2014
Rafizi mengatakan dokumen berkaitan seperti didedahkan laman sesawang pembocor maklumat Sarawak Report semalam akan turut diserahkan bersama pada petang esok di Ibu Pejabat SPRM. - Gambar fail.Rafizi mengatakan dokumen berkaitan seperti didedahkan laman sesawang pembocor maklumat Sarawak Report semalam akan turut diserahkan bersama pada petang esok di Ibu Pejabat SPRM. - Gambar fail.PKR akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaitkan anggota keluarga Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan syarikat yang terlibat dalam salah laku berkaitan konsesi balak.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, dokumen berkaitan seperti didedahkan laman sesawang pembocor maklumat Sarawak Report semalam akan turut diserahkan bersama pada petang esok di Ibu Pejabat SPRM.

"Pendedahan terbaru Sarawak Report mengenai syarikat yang mengundang kontroversi iaitu Regent Star Company Limited menguatkan lagi tuduhan-tuduhan mengenai salah laku melibatkan konsesi balak di Sarawak," kata Rafizi pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

"Pehin Seri Taib Mahmud pernah membuat kenyataan di Dewan Undangan Negeri Sarawak menafikan beliau tahu atau kena mengena dengan Regent Star. Kenyataan itu digunakan sebagai alasan untuk menutup skandal yang panas ketika itu."
 
Sementara itu, Rafizi mendakwa syarikat milik adik Taib juga pernah disiasat di Jepun atas dakwaan mengelak cukai atas komisen yang dianggapnya rasuah – bernilai ¥1 bilion (RM32.6 juta).

"Dengan bukti-bukti baru yang dikemukakan ini, jelas bahawa tuduhan rasuah terhadap Taib Mahmud akan terus berlegar. Malah, saya mengambil keputusan untuk membuat satu laporan SPRM baru terhadap Taib Mahmud supaya perkara-perkara ini digunakan di dalam siasatan yang dibuat.

"Oleh itu, saya menggesa supaya Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab menasihati DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat pendirian tegas bahawa mana-mana calon yang dipertimbangkan bagi jawatan TYT perlulah diisytiharkan SPRM bahawa tiada siasatan yang masih belum ditutup terhadap calon itu," katanya.


Menurut Rafizi, beliau akan menulis secara rasmi kepada SPRM hari ini untuk mengesahkan masih ada siasatan yang dibuka terhadap Taib  dan selagi beliau tidak diisytiharkan tiada sebarang siasatan terbuka, beliau tidak boleh dipertimbangkan sebagai TYT. – 13 Februari, 2014.

No comments: