Polis Nafi Terbabit Dalam Serangan Ceramah Abu-Hindraf





SHAH ALAM 25 JAN : Polis hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan dan bersengkongkol dengan perusuh di ceramah ABU-Hindraf Sabtu lalu.

Ketua Polis Shah Alam, Zahedi Ayob berkata pihaknya tidak dimaklumkan oleh penganjur tentang ceramah tersebut dan hanya mengetahui kewujudan acara tersebut selepas kekecohan antara penduduk setempat dengan peserta ceramah berlaku.

Walaubagaimana pun, Zahedi menjelaskan pihaknya berjaya menahan sekurang-kurangnya enam individu lingkungan antara 17 ke 20 tahun yang didakwa terlibat dalam kejadian rusuhan tersebut bagi membantu siasatan.

Kesemua mereka yang ditahan disiasat dibawah Seksyen 148, Kanun Keseksaan (Kesalahan Merusuh).

"Saya ingin ingatkan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan ke atas kedua-dua belah pihak sekirannya didapati melakukan kesalahan.

"Kita juga ingin menafikan bahawa pihak polis terlibat dan bersubahat seperti yang dikatakan oleh mereka yang tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam hari ini.

Ceramah umum gerakan ABU-Hindraf (Asalkan Bukan Umno-Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu) yang berlangsung di Dewan MBSA, seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Penganjur ceramah mendakwa samseng itu dipercayai penyokong tegar Umno dan bertindak ganas terhadap peserta India di ceramah itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Dewan Penyokong PAS cedera parah apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Sementara itu, seorang pengerak ABU Badrul Hisham Shaharin, mendakwa salah seorang dari kumpulan perusuh itu adalah pegawai polis yang tidak berpakaian seragam selain mengesyaki polis bersubahat dengan kumpulan penyerang terbabit.

Sebuah portal berita melaporkan Badrul Hisham membuat dakwaan tersebut di dalam satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Selain memorandum, Badrul Hisham mengemukakan bukti rakaman video serangan malam kejadian dan gambar penyerang yang dikenal pasti.

No comments: