PAS Selangor Setuju Masjid Tidak Diguna Untuk Berpolitik

SHAH ALAM, 27 SEPT: PAS Selangor bersetuju pada dasarnya agar masjid tidak digunakan sebagai medan berpolitik demi memastikan perpaduan di negeri ini terjamin.

Di samping itu, PAS Selangor juga berpuas hati dengan hasil penerangan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bahawa agensi itu tidak menjadi alat mana-mana parti politik termasuk Umno kerana ia tetap berpegang dengan asas penubuhannya.

Perkara itu dijelaskan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman kepada TV Selangor selepas menghadiri pertemuan itu di sini.

Menurut Dr Rani dalam pertemuan itu, pihaknya tidak membangkitkan isu larangan menyampaikan ceramah politik oleh ahli -ahli politik PAS kerana parti itu mempunyai banyak cara sendiri untuk menyampaikan ceramah.

“Jika tidak boleh berceramah di masjid kita akan melakukan kegiatan yang sama di tempat-tempat lain. Banyak alternatif,” katanya.

Menurut Dr Rani kunjungan PAS adalah bagi mengeratkan pertalian dengan agensi itu sebagai salah satu parti yang mentadbir Selangor.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah timbalannya Khalid Abdul Samad dan Iskandar Abdul Samad serta wakil daripada Pemuda dan Muslimat.

Menyentuh mengenai persiapan PAS Selangor dalam menghadapi pilihan raya, Rani berkata pihaknya sentiasa siap sedia pada bila-bila masa.

“Andai kata pilihan raya diumumkan akan diadakan minggu depan, kita sudah bersedia dengan calon-calonnya,” kata Dr Rani.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa Pakatan Rakyat akan terus mentadbir Selangor daam pilihan raya akan datang. Ini berdasarkan pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat negeri sejak tiga tahun mentadbir.

Menurut Dr Rani, rakyat kini pandai menilai kerajaan mana lebih baik untuk mentadbir Selangor yang dapat membela nasib rakyat di masa hadapan.

No comments: