Ahli ekonomi perjelas kenapa pelabur lebih suka negara ASEAN lain
PETALING JAYA: Prospek pertumbuhan jangka panjang yang lebih baik, iklim pelaburan yang menarik, dan dasar konsisten antara sebab yang mendorong pelabur antarabangsa memilih negara ASEAN lain berbanding Malaysia, kata seorang ahli ekonomi.
Bercakap kepada FMT, profesor ekonomi di Universiti Sunway, Yeah Kim Leng, turut berkata kestabilan politik, tadbir urus yang baik, rasuah yang rendah, dan “usaha promosi terselaras dari peringkat tertinggi” sebagai beberapa faktor mengapa Singapura, Indonesia, dan Vietnam berjaya menarik pelaburan berprofil tinggi mutakhir ini.
Ketiga-tiga negara itu menerima lebih 80% daripada pelaburan langsung asing (FDI) AS$156 bilion ke negara-negara ASEAN tahun lalu, menurut agensi perdagangan PBB, UNCTAD. Hanya 5%, atau sekitar RM31.7 bilion (AS$7.8 bilion), ke Malaysia.
“Malaysia perlu meningkatkan prestasinya dalam semua ini yang menarik pelbagai jenis pelabur yang mencari kecekapan, mencari pasaran, dan mencari sumber,” kata Yeah kepada FMT.
Menyatakan usaha Indonesia dalam membasmi rasuah menghasilkan peningkatan mendadak pada ranking dunianya, Yeah juga berkata pemilihan semula Presiden Indonesia, Joko Widodo, tahun lalu “mencetuskan minat pelabur antarabangsa” terhadap pelan prasarana dan perindustriannya.
Yeah, bekas ketua kumpulan ahli ekonomi di agensi penarafan kredit RAM Holdings, juga berkata strategi promosi pelaburan yang terselaras di Indonesia membolehkan kerajaan republik itu “menguja syarikat global terkemuka” dengan pasaran yang besar dan berkembang sekitar 270 juta penduduk.
Tambahan pula, Yeah berkata potensi Indonesia untuk membangunkan sumber alam yang luas diperhatikan syarikat global yang mencari peluang pelaburan berasaskan sumber.
Yeah mengulas catatan bekas perdana menteri Najib Razak di Facebook baru-baru ini yang mengatakan terdapat kekurangan usaha untuk menarik pelabur asing dalam 2 tahun lalu.
Najib berkata syarikat gergasi teknologi AS seperti Tesla, Amazon, dan Google melihat Indonesia sebagai pilihan pelaburan dan mempersoalkan apa yang dibuat agensi pelaburan Malaysia untuk menarik FDI.
Walaupun FDI ke Malaysia meningkat 3.1% dari RM30.7 bilion pada 2018 kepada RM31.7 bilion pada 2019, ini penurunan yang ketara dari dua tahun sebelumnya. Malaysia melaporkan RM41 bilion pada 2017 dan RM47.2 bilion pada 2016.
Menyatakan negara mempunyai pejabat perdagangan, misi pelaburan, dan pelbagai kakitangan yang mempromosikan negara di luar negara, ahli ekonomi kanan di Malaysian Rating Corporation, Firdaos Rosli, tidak setuju agensi pelaburan Malaysia “tidak berbuat sehabis baik” untuk menarik pelaburan.
Jelas beliau, agensi pelaburan negara hanya menjalankan tugas dalam ruang peraturan sekarang.
“Apa kelebihan kita?” soal beliau. “Itu persoalannya”.
“Peraturan kita bagus untuk menarik pelaburan bernilai rendah. Tetapi apabila negara-negara lain juga menawarkan insentif yang sama, kita mengehadkan diri kepada bersaing di ruang yang kita akan kalah.”
Senada dengan Yeah mengenai betapa besarnya pasaran domestik Indonesia, Nazari Ismail dari Jabatan Strategi Perniagaan dan Dasar di Universiti Malaya menyifatkannya sebagai “sebab utama” pelabur antarabangsa masuk ke Indonesia – dengan kos operasi yang lebih rendah juga menjadi faktor utama.
“Indonesia mempunyai 267 juta penduduk, jadi tentunya sukar untuk menyaingi mereka dari segi potensi pasaran dan juga kos operasi,” katanya.
“Itulah sebabnya syarikat (Tesla, Amazon, dan Google) juga mengabaikan Singapura, yang jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan Indonesia.
“Oleh itu, saya tidak akan menyalahkan kerajaan dalam isu ini kecuali jika anda juga mahu meningkatkan jumlah penduduk kita sebanyak Indonesia dan menurunkan gaji agar setanding mereka, di mana kedua-duanya bukan pilihan yang realistik.”