MEMBESARKAN PH LEBIH PENTING DARIPADA GABUNGAN BESAR, PARTI KECIL MESTI TERIMA KEPIMPINAN ANWAR

 

Melontarkan idea pembentukan gabungan besar pembangkang pada hakikatnya bukanlah suatu kesalahan, malah cukup baik dalam usaha PH mengejar cita-cita untuk menjadi kerajaan semula.

Ini kerana politik ialah permainan nombor dan bagi tujuan itu, semua orang akan mencari jumlah yang lebih besar berbanding lawannya.

Tetapi, dalam konteks di negara ini, PH sudah pun ada sebagai pembangkang yang mampu memainkan peranannya, bukan saja untuk “semak dan imbang’, malah juga untuk mengambil alih kerajaan.

Untuk itu, apa yang diperlukan hanyalah membesarkan lagi PH yang sudah sedia ada, bukannya membentuk gabungan besar yang lain yang bermaksud kedudukan PH perlu diruntuhkan.

Parti-parti yang belum menyertai PH seharusnya dibwa menyertai gabungan itu dan menerima kepimpinan Anwar Ibrahim yang sudah dipersetujui sebagai penerajunya.

Tiada PH Plus atau nama-nama lain diperlukan lagi, sebaliknya PH yang sedia ada sudah mencukupi.

Adalah janggal dan tidak masuk akal jika parti baru yang mahu menyertai PH meletakkan syarat kepimpinan gabungan itu mesti ditukar bersekali dengan kemasukan mereka.

Lebih tidak masuk akal lagi kiranya ada parti baru itu berkehendakan mereka pula mengetuai PH setelah menyertainya.

Begitu juga, turut tidak masuk akal jika ada parti dalam PH sendiri yang ingin membawa parti lain di luar PH menyertai PH, tetapi memberi gambaran kedudukan Anwar sebagai Pengerusi PH perlu digantikan.

Dalam hal ini, jangan lupa, selain Anwar sudah sedia memimpin PH, PKR yang diwakilinya juga mempunyai 38 kerusi Parlimen di dalamnya.

Susah derita Anwar mengumpul kekuatan pembangkang sehingga hari ini dan pernah berjaya menjadi kerajaan di pusat dan beberapa negeri, kalau mahu diimbas dan diceritakan, tentulah lagi panjang huraiannya.

Berbanding dengan Pejuang yang hanya ada 4 Ahli Parlimen dan Warisan sekadar punya 9 Ahli Parlimen (seorang meninggal dunia dan masih menunggu tarikh PRK Batu Sapi ditetapkan), kedudukan Anwar yang mewakili PKR menerajui PH seharusnya tidak dipertikaikan.

Apakah DAP dan Amanah setuju jika ada pemimpin baru yang ingin menyertai parti mereka, tetapi terus meminta diberikan jawatan Setiausaha Agung dan Presiden?

Apa yang seharusnya DAP dan Amanah lakukan, jika jujur dan ikhlas terhadap aspirasi perjuangan PH, mereka semestinya mempertahankan kepimpinan PH sedia ada.

Mana-mana ahli baru memang digalakkan menyertai PH demi tujuan membesarkan lagi gabungan itu, tetapi mereka mesti menerima kepimpinan Anwar.

DAP dan Amanah seharusnya memainkan peranan meyakinkan mana-mana parti yang ingin menyertai PH agar menerima kepimpinan Anwar, bukan memperlihatkan kecondongan memilih pemimpin parti baru untuk menerajui PH.

Anwar sebagai Pengerusi PH adalah mewakili institusi PH itu sendiri.

Dalam konteks Tun Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal, harus jangan lupa, selain kedua parti itu lebih kecil, Pejuang belum lagi diluluskan pendaftarannya, manakala Warisan baru saja ditumbangkan daripada menerajui Sabah.

Maka, daripada akal mana yang memberi logik mereka itu lebih layak daripada Anwar untuk mengambil alih terajui PH atau memimpin gabungan besar PH Plus?

Selain itu, jangan dilupakan juga tentang silap mata Tun Mahathir yang sebenarnya telah meruntuhkan PH sebagai kerajaan sebelum ini semata-mata ingin terus berkuasa tanpa terikat dengan janji peralihan kuasa kepada Anwar yang dipersetujunya sendiri sebelum beroleh kuasa.

Mujur Tuhan tidak merestui idea kerajaan perpaduan yang ingin dibinanya itu, di mana beliau sendiri turut jatuh tersembam akhirnya.

Sudah gilakah kita sampai beliau dengan kecurangannya yang nyata itu mahu diambil semula sebagai ketua?

Namun, sebagaimana disebut awal tadi, politik ini adalah permainan angka dan membesarkan PH bagi tujuan kemantapan bersaing bukanlah suatu kesalahan.

Tapi, baik Pejuang atau Warisan, mereka mesti akur dengan kedudukan Anwar dan PKR yang lebih mantap dan kukuh dalam PH sekarang dan untuk itu, harus menerima kepimpinan beliau selaku Pengerusi PH tanpa sebarang syarat.

Jika enggan, silalah kekal bersendirian dengan 4 dan 9 kerusi Parlimen sedia ada sekarang serta tunggulah ke mana nasib masing-masing bakal dibawa arus dalam PRU15 akan datang nanti. 

(Shahbudindotcom 19/12/2020)



No comments: