Friday, April 12, 2013

Dr M ancaman kepada pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ dalam Wawasan 2010, kata Kit Siang


Bahasa

Dr M ancaman kepada pembentukan ‘Bangsa Malaysia’ dalam Wawasan 2010, kata Kit Siang

Oleh Mohd Farhan Darwis
April 12, 2013
Lim Kit Siang hari ini mengatakan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan ancaman kepada pembentukan negara bangsa Malaysia. — Gambar failKUALA LUMPUR, 12 April — Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah ancaman kepada pembentukan “Bangsa Malaysia” dalam Wawasan 2020, dan pembentukan negara bangsa Malaysia, kata Lim Kit Siang.

Penasihat DAP itu menegaskan, kenyataan terbaru bekas perdana menteri itu dalam blog Chedet.cc miliknya semalam jelas membuktikan beliau tidak pernah meninggalkan arena politik, sebaliknya kini beliau merupakan individu yang “paling ditakuti” dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Amat menyedihkan dan tragik apabila ‘kebangkitan kedua’ Dr Mahathir dalam koridor kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan pengaruh yang buruk dan amat merosakkan bagi politik Malaysia dan pembinaan negara bangsa,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah veteran politik itu lagi, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak juga begitu takut dengan Dr Mahathir kerana beliau mampu menentukan siapa perdana menteri.

“Selain memuji Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, beliau juga telah mengeluarkan kenyataan yang meruntuhkan pembentukan negara bangsa Malaysia, beliau juga mengeluarkan kenyataan di laman blognya bahawa saya bertanding di Gelang Patah akan mengakibatkan ‘konfrontasi kaum,’ katanya lagi.

“Ia kenyataan paling tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan bekas perdana menteri,” tambahnya.
Kit Siang juga menjelaskan kenyataan Dr Mahathir itu tidak masuk akal memandangkan semua lima kerusi Parlimen yang ditandinginya sebelum ini mempunyai majoriti pengundi Cina.

“Namakan sahaja, Kota Melaka, Petaling, Tanjong, Bukit Bendera dan Ipoh Timor mempunyai majoriti Cina ... berbanding Gelang Patah yang mempunyai 53 peratus pengundi Cina, 33 peratus pengundi Melayu, dan 12 peratus pengundi India.

“Saya tidak menjangkakan pujian daripada Dr Mahathir kerana berani keluar dari kawasan selesa seperti Ipoh Timor yang mempunyai 80 peratus pengundi Cina,” katanya lagi.

Kit Siang juga turut mempersoalkan tindakan Dr Mahathir yang mengatakan beliau menggunakan sentimen perkauman dalam kempennya di Gelang Patah.

“Saya telah menemui semua pengundi perbagai bangsa untuk bekerjasama sebagai satu Malaysia, yang mana mempunyai keahlian parti dari pelbagai kaum seperti Pakatan Rakyat (PR).

“Dr Mahathir hanya meneruskan kempen kemusnahan oleh Umno yang memainkan sentimen DAP sebagai anti Melayu, anti Islam yang jelas satu penipuan,” tegasnya.

Tegasnya lagi, Gelang Patah adalah satu ujian sama ada penipuan Umno dan Dr Mahathir itu benar atau tidak.


“Beliau perlu berundur dan memohon maaf atas penipuan terhadap saya atau mengeluarkan bukti menyokong dakwaannya itu serta tidak lagi menyebar penipuan terhadap saya,” tambahnya.




No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers