Dalam reaksinya terhadap serbuan SPRM terhadap firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS), Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yassin menyifatkannya sebagai salah guna kuasa.
“Ini salah guna kuasa sedangkan dia peguam yang pertahankan diri saya. Untuk tujuan apa SPRM pergi sana (buat serbuan)?
“Ini seolah-olah ada gambaran sesuatu nak dilakukan. Ini salah guna kuasa pihak tertentu,” katanya pada pentas akhir ceramah mega PRK Pelangai malam tadi.
Serentak itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar segera menghentikan “kezaliman” itu dan memfokuskan tumpuan kepada ekonomi negara serta membantu rakyat.
“Anwar cukuplah. Jangan teruskan kezaliman ini. Berikan tumpuan menyelamatkan ekonomi negara dan beri bantuan supaya rakyat terbela,” katanya lagi.
Rosli Dahlan yang merupakan rakan kongsi RDS adalah penasihat utama Bersatu dan juga peguam yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Mahiaddin.
RDS mewakili Mahiaddin dalam kes saman fitnah bekas Perdana Menteri itu terhadap Anwar berkaitan isu pelupusan hutang Felda.
Laporan awal sebelum ini menyebut, seramai 12 pegawai SPRM menyerbu pejabat RDS di Publika, Kuala Lumpur untuk mendapatkan beberapa dokumen bagi tujuan siasatan yang pada awalnya tidak disebutkan.
Kemudian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan serbuan tersebut dan mengatakan ia adalah berkaitan siasatan yang ada hubungan dengan usaha kerajaan untuk mendapatkan semula aset 1MDB.
Tanpa menyebut namanya, Azam berkata, peguam tersebut merupakan salah seorang daripada beberapa individu yang disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram 2001.
Azam juga menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut “menyalahi mana-mana akta yang berkuatkuasa.”
“SPRM mematuhi semua peraturan serta menyedari privasi antara peguam tersebut dan klien-kliennya,” kata beliau lagi.
Secara berasingan, sumber lain yang rapat dengan SPRM menaklumkan, peguam itu disiasat kerana didakwa menerima sejumlah wang rasuah ketika dilantik membantu 1MDB mendapatkan semua sebahagian asetnya yang dicuri sebelum ini.
Beliau dikatakan dilantik mewakili 1MDB dalam urusan tersebut ketika Mahiaddin menjadi Perdana Menteri.
“Pegawai SPRM hadir di firma guaman RDS hanya untuk mendapatkan dokumen berhubung siasatan,” kata sumber itu.
Untuk rekod, pada 2021, Rosli telah menafikan ada menerima sogokan daripada penyelesaian RM16.63 bilion antara Goldman Sachs dengan 1MDB dan kerajaan berhubung peranan bank pelaburan itu dalam skandal 1MDB.
Berdasarkan semua rentetan di atas, adalah terbukti serbuan SPRM terhadap RDS semalam adalah untuk menyiasat berkaitan kes rasuah dalam usaha 1MDB mendapatkan semula asetnya yang dicuri dan penyelesaian dengan Goldman Sachs.
Ertinya, bukanlah serbuan SPRM itu atas isu-isu lain atau kes yang berkaitan dengan Mahiaddin dan Bersatu, jauh sekali melibatkan pertikaian antara Presiden Bersatu itu dengan Anwar.
Mungkin dalam hal ini, ada maklumat baru telah diperolehi oleh SPRM yang memerlukan mereka melakukan serbuan dengan segera, meskipun Rosli pernah menafikannya.
Jadi, di mana zalimnya Anwar dan SPRM dalam hal ini?
Apakah membanteras rasuah suatu kerja zalim?
Bahkan, menghalang siasatan dan membuat tuduhan yang bukan-bukan seperti dilakukan Mahiaddin itulah sebenarnya suatu kezaliman. – ShahbudinHusin 07/10/2023.
https://shahbudindotcom.net/