Apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS akhirnya meluluskan cadangan pindaan perlembagaan UMNO petang semalam, petunjuk yang nyata kini ialah ia bermakna Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat ini.
Oleh kerana pemilihan UMNO sudah dibenar diadakan selepas PRU15 dilangsungkan dan tempoh penggal Parlimen sekarang berakhir ialah Julai 2023, kebarangkalian Parlimen akan dibubarkan adalah dalam tempoh dua atau tiga bulan daripada sekarang.
Rata-rata meramalkan Ismail Sabri Yaakob akan mengadap Agong bagi memohon pembubaran Parlimen sebaik saja Belanjawan 2023 dibentangkan pada awal Oktober depan.
Oleh kerana beliau sudah dinamakan sebagai “poster boy” BN, Ismail Sabri tentu saja ingin memanfaatkan Belanjawan 2023 dengan beberapa pendekatan yang memperlihatkan kerajaan pimpinannya lebih hampir serta mesra dengan kesusahan rakyat.
Hal ini adalah sesuatu yang lumrah dan biasa, malah siapa pun jadi Perdana Menteri pasti akan melakukan hal yang sama.
Cuma, dengan PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO, ini bermakna Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO akan kekal memainkan peranan penting dalam banyak perkara, khususnya dalam soal pemilihan calon untuk bertanding.
Ada dua isu besar berbangkit dalam hal ini:-
Pertama, apakah nasib penentang-penentangnya dalam UMNO seperti Annuar Musa, Shahidan Kasim, Tajuddin Abdul Rahman dan lain-lainnya pada PRU15 nanti?
Adakah mereka kekal dicalonkan atau akan digugurkan?
Jika digugurkan, mungkinkah mereka dengan senang hati memilih bersara atau akan beralih untuk bertanding mewakili parti lain?
Jika itu berlaku, apakah kesannya kepada BN dalam mencari kemenangan?
Kedua, ini juga bermakna dalam PRU15 akan datang, buat pertama kali dalam sejarah di mana UMNO dan BN akan menyertai pilihan raya dalam keadaan parti dipimpin oleh Presiden yang masih berdepan kes mahkamah?
Tidak pernah dalam mana-mana PRU sebelum ini Presiden UMNO terkait dengan kes mahkamah, apatah lagi dengan jumlah kes yang banyak iaitu 87 pertuduhan.
Mahukah rakyat memberi sokongan dan undi sedangkan Presiden UMNO dan Pengerusi BN dilihat bermasalah dan tidak bersih, terutama jika Zahid Hamidi sendiri masih bertanding lagi di Parlimen Bagan Datuk?
Bagaimana UMNO mahu menepis kecurigaan dan kebimbangan rakyat bahawa jiwa UMNO dan BN diberi kemenangan, ia lebih mungkin digunakan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang sedang dihadapi itu?
Mahu tidak mahu sebenarnya, dalam keadaan PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO dan Presiden UMNO pula sedang bermasalah dan dilihat tidak bersih, bagi menjamin rakyat tiada kecurigaan untuk memberi undi kepada BN, pilihan yang terbaik ialah Zahid Hamidi mesti berjiwa besar dengan memilih untuk tidak bertanding sama sekali.
Beliau hanya perlu, atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, memastikan kemenangan parti dengan segala kemampuannya tanpa memikirkan kepentingan untuk peribadinya.
Percayalah, jika ini dapat dilakukan, pengorbanan Zahid Hamidi pasti dibalas dengan sokongan yang melimpah ruah oleh rakyat. – ShahbudinHusin 30/07/2022.