Perlu 680 tahun selesai kewarganegaraan kanak kanak?
Sikap Kementerian Dalam Negeri yang amat perlahan dalam meluluskan kewarganegaraan bagi kanak kanak dianggap sesuatu yang tidak wajar dan menyukarkan nasib kanak kanak tanpa kewarganegaraan.
Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina berkata, berdasarkan jawapan Menteri Dalam Negeri ke atas soalan secara bertulis berkenaan bilangan permohonan kewarganegaraan yang diterima, diluluskan dan ditolak melalui Perkara 15(2) untuk tempoh 5 tahun lalu, amat mengejutkan.
Katanya, sukar diterima akal berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 3,407 permohonan kewarganegaraan diterima dari tahun 2018 hingga Jun 2022 namun hanya 19 permohonan yang telah diluluskan manakala 7 lagi ditolak.
“Dengan kadar hanya sekitar 0.6% ini bermakna Kementerian memerlukan 681 tahun meluluskan keseluruhan permohonan kewarganegaraan kanak-kanak di Malaysia.
“Ini adalah suatu yang mengejutkan dan sangat mengaibkan buat kanak-kanak dan para ibu di Malaysia kerana telah meletakkan mereka dalam situasi yang tidak menentu dalam impak kehidupan,” katanya.
Bagi beliau, kelemahan itu tidak boleh didiamkan sahaja dan KDN perlulah memberi penjelasan mengenai terlalu sedikitnya permohonan yang diluluskan.
“Saya pohon agar Kementerian tampil memberikan penjelasan lanjut Prosidur Operasi Standard (SOP) sebenar dan punca kelewatan proses kelulusan permohonan kewarganegaraan ini.
“Kementerian mesti mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi, dijaga dan menjamin kesaksamaan undang-undang dan pentadbiran tanpa diskriminasi,” katanya.
Di samping itu, menurut Nurin Aina lagi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga perlu campurtangan dalam hal berkenaan serta mengusahakan agar dilakukan pindaan Perlembagaan bagi menyelesaikan kemelut yang berpanjangan tersebut.
“Saya merayu kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar berusaha melakukan pindaan terhadap Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, berhubung Perkara 14 perlu dilakukan, agar hak kerakyatan bagi anak wanita atau lelaki warganegara Malaysia adalah saksama dan selari dengan prinsip kesaksamaan gender dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.