Hantu politik tidak lagi boleh melompat
Lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti semalam merupakan mercu tanda bersejarah yang mengakhiri pertukaran kerajaan secara lompat parti sejak 60 tahun lalu.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai, dengan lulusnya RUU berkenaan maka hantu politik yang bergentayangan dan melompat sesuka hati akan menukar tabiat politik
Detik kelulusan RUU itu juga, ujar beliau, bertepatan bermulanya bulan 7 dalam kalendar Cina yang mana sepanjang bulan ini masyarakat Cina akan menyambut perayaan ‘Hantu Lapar’ yang dipercayai mudah tercetus malapetaka.
“Kebetulan, RUU anti lompat parti telah diluluskan sehari sebelum itu dengan persetujuan lebih daripada 2/3 undi di Dewan Rakyat.
“Dengan pindaan tersebut, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya. Namun, Ahli Parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.
“Ahli Parlimen juga tidak akan hilang kerusi jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi speaker Dewan Rakyat. Bagi Ahli Parlimen yang menang dengan tiket Bebas pula, mereka yang kemudiannya menyertai sesebuah parti atau menjadi anggota gabungan akan kehilangan kerusi,” katanya.
RUU berkenaan tidak akan tercetus, menurut Andre, sekiranya 39 Ahli Parlimen tidak bertukar parti semenjak 2018 dan kemuncaknya Langkah Sheraton pada tahun 2020, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Kata beliau, biarpun RUU baharu ini tidak diketahui keberkesanannya namun kelulusannya adalah permulaan yang baik dalam usaha menstabilkan suasana politik negara.
Katanya, sebelum Langkah Sheraton Malaysia pernah mengalami insiden yang sedemikian rupa seperti kejatuhan kerajaan PBS di Sabah pada 1986 akibat pembelotan wakil rakyat
Selain itu, tambah Andre lagi, RUU itu juga bakal memulihkan keyakinan rakyat kepada politik dan akan mengeluarkan mereka yang sinis mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 15.
Apa pun, katanya, hantu politik akan tersekat langkah mereka selepas ini.
“Tahun lepas, artikel saya berkiaskan Hantu Politik Lapar merayap di Putrajaya.
“Bermula tahun ini, hantu politik tidak lagi boleh melompat,” kata Andre lagi