PILIHAN ZAID IBRAHIM JADI PEGUAMBELA NAJIB HENDAKLAH DIHORMATI


 Semalam, veteran DAP Lim Kit Siang melahirkan rasa hairan berkenaan sikap Zaid Ibrahim yang sedia menjadi peguambela kepada Najib Razak dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Sebagaimana dimaklumkan kepada mahkamah, firma Zaid akan mengetuai pembelaan Najib bagi menggantikan Shafee Abdullah dalam rayuan bermula 15 hingga 26 Ogos depan.

Kata Lim, beliau tertanya-tanya bagaimana Zaid kini boleh berubah fikiran, terutama dalam kenyataan terbukanya yang yakin Najib tidak bersalah dalam skandal 1MDB.

Sebaliknya bagi Zaid, bekas Perdana Menteri itu sebenarnya telah ditipu.

“Kini saya yakin yang Najib ditipu. Bukan sahaja oleh Jho Low tetapi juga oleh pegawainya. Dia dikelirukan oleh pegawai-pegawainya dalam 1MDB dan ditipu oleh Goldman Sachs dan Aabar Investments di Abu Dhabi.

“Jadi kerugian berbillion ringgit ini, pada pendapat saya, bukanlah kerana salah Najib atau dalam kata lain, dia bukanlah yang merancangnya,” demikian Zaid dipetik sebagai berkata.

Selain Kit Siang, banyak pihak lagi turut mengecam Zaid atas keputusannya sedia menjadi peguambela kepada Najib, selain mereka menyiarkan semula berita dan video ucapan lamanya yang dipaparkan keras mengkritik bekas Perdana Menteri itu.

Salahkah sikap Zaid sekarang?

Harus kita fahami Zaid adalah seorang peguam dan atas profesionnya itu, beliau berhak memberi khidmatnya kepada sesiapa saja yang yakin serta percaya kepada kemampuannya.

Dalam hal ini, beliau memberi khidmatnya membela Najib adalah kerana bekas Perdana Menteri telah melantik dan mempercayainya.

Untuk itu, selain mesti membela dan memberi khidmat yang terbaik kepada Najib, semestinya Zaid juga harus melindunginya kliennya itu.

Keyakinannya bahawa Najib tidak bersalah adalah pandangan daripada sudut profesionnya sebagai peguam semata-mata berdasarkan dapatan yang ditelitinya setakat ini.

Ia umpama peguam yang membela seseorang yang dituduh membunuh, merogol atau mengedar dadah misalnya, khidmat pembelaan yang diberikan tidaklah bererti mereka bersetuju dengan perlakuannjenayah yang dipertuduhkan itu.

Pembelaan hanyalah untuk memberi keadilan dan akhirnya berdasarkan bukti-bukti yang dibentangkan di mahkamah, hakimlah akhirnya yang akan membuat keputusan bersalah atau tidak.

Begitu juga Zaid dalam kes Najib ini, beliau adalah seorang peguam dan bukan hakim yang kata-katanya adalah mutlak atau berupa suatu keputusan.

Oleh itu, semua orang, terutamanya Kit Siang yang juga berlatarbelakang seorang peguam, seharusnya bersikap terbuka dan tenang-tenang saja dalam hal ini.

Keputusan Zaid sedia menjadi peguambela Najib turut tidak harus dinilai oleh Kit Siang daripada sudut politik, tambahan lagi beliau kini adalah insan bebas yang tidak menganggotai mana-mana parti.

Nilailah beliau daripada sudut profesionalismenya sebagai seorang peguam. – ShahbudinHusin 30/07/2022.