Kepartian sempit akan gagalkan ‘khemah besar’, kata penganalisis
PETALING JAYA: Pendekatan khemah besar hanya akan berjaya sekiranya parti berminat mampu mengetepikan semangat kepartian sempit demi kepentingan nasional.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata semangat kepartian itu dilihat masih menebal apabila ada pihak membayangkan kerjasama besar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan meletakkan pelbagai syarat.
Katanya, tidak mustahil gabungan dibentuk tanpa mengambil kira keutamaan negara itu bakal menyebabkan episod ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, bakal berulang dan politik negara terus berkecamuk.
Menurut Fauzi, untuk sebuah gabungan khemah besar mencatat kejayaan, pihak yang menyertainya harus sanggup berkorban dengan mengetepikan kepentingan sempit serta mengutamakan kepentingan negara secara keseluruhan.
“Jika pun khemah besar berlaku tetapi kepentingan sempit tidak dapat diketepikan, apa gunanya kerana pembentukan kerajaan selepas PRU15 akan diselubungi seribu satu masalah dan perasaan tidak puas hati.
“Kalau ya pun kerajaan dapat dibentuk, kemungkinan besar ia tidak dapat bertahan lama. Maka, langkah mirip ‘Sheraton Move’ akan berulang, dan politik tetap tidak stabil,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim memberikan isyarat sedia bekerjasama dengan Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin sekali lagi, walaupun mendapat bantahan pimpinan gabungan itu yang menyatakan pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi PRU tidak boleh memasukkan parti-parti dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin juga memberi bayangan parti itu bersedia menyertai agenda ‘khemah besar’ dibawa blok pembangkang, dengan menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi memastikan saingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN), pada PRU15.
Bagaimanapun, Presiden Amanah Mohamad Sabu, berkata pendekatan ‘khemah besar’ PH tidak seharusnya memasukkan gabungan parti politik yang membentuk kerajaan, sama ada Umno, Bersatu atau PAS.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, pula berkata sukar untuk PH bekerjasama dengan Bersatu berdasarkan apa yang telah berlaku sebelum ini, khususnya Langkah Sheraton.
Pendekatan khemah besar kembali hangat dibincangkan oleh setiap parti selepas Muhyiddin yang sebelum ini mengetuai Langkah Sheraton berjumpa dengan beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Pejuang, Warisan dan PH selepas kalah dalam beberapa siri PRN dipercayai sebagai usaha mewujudkan kerjasama politik, menjelang PRU15.
Pakar perang saraf dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin, pula berpendapat trend sokongan pengundi muda berjumlah hampir 6 juta orang mungkin menjadi faktor dalam menentukan jajaran baharu selepas PRU15.
Katanya, parti yang mempunyai kecenderungan tertentu seperti lantang membawa suara anak muda berkemungkinan akan mempengaruhi berlakunya tsunami politik anak muda pada PRU akan datang, sekali gus menentukan hala tuju landskap politik negara untuk sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.
Bagaimanapun, sekiranya anak muda mengambil pendekatan sebagai pengundi pasif dan penyertaan mereka dalam arena politik tidak berlaku secara menyeluruh atau sekurang-kurangnya lebih 80% maka BN dan Umno sudah pasti mempunyai peluang amat cerah untuk menawan PRU15.
“Jika tiada anak muda ikon politik dari kedua-dua khemah besar maksudnya mereka merasakan politik bukan satu perkara menarik, akhirnya parti gergasi kembali mewarnai politik seperti pilihan raya umum lalu,” kata Nirwandy.