JANGAN TAKUT DENGAN RAFIZI, BELIAU BUKAN ANCAMAN KEPADA ANWAR

 

Entah dirasuk jembalang apa, ada segelintir pihak yang rapat dengan Anwar Ibrahim dilihat telah terseleweng pemikiran mereka sehingga melihat keputusan Rafizi Ramli bertanding jawatan Timbalan Presiden setelah dua tahun bercuti sebagai ancaman kepada Presiden PKR itu.

Dengan itu, meskipun Rafizi secara realitinya sedang berlawan dengan Saifuddin Nasution Ismail yang memang adat bertanding cuba mengalahkannya, bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga sebenarnya turut sama cuba dikalahkan oleh “inner circle” Anwar sendiri.

Melalui pelbagai maklumat yang diterima, mereka dikesan memang tidak selesa jika Rafizi akhirnya berjaya memenangi jawatan nombor dua dalam PKR itu.

Sejak awal lagi, ada kalangan mereka itu mencadangkan agar lebih baik Rafizi bertanding jawatan Naib Presiden saja dan memberi laluan percuma kepada Saifuddin menduduki kerusi Timbalan Presiden, meski hakikatnya beliau telah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang Azmin Ali pada pemilihan 2018 yang lalu.

Takkan dah pernah ambil STPM, nak disuruh ambil SPM pula?

Apabila Rafizi kemudiannya mengesahkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden dan mula menggerakkan kempennya, ada kelompok tersebut dengan yakin mengatakan “Rafizi akan kalah” kepada Saifuddin.

Hari ini, melihat bagaimana kempen-kempen dan jamuan hari raya diadakan yang menampakkan ia seperti kebetulan yang disengajakan, kesungguhan untuk memastikan kekalahan Rafizi bukan lagi rahsia yang boleh diteka dalam gelap semata-mata.

Ia tidak saja boleh dilihat dengan nyata dan menjadi perbualan dalam PKR sendiri, malah tidak kurang yang kecewa dengan perkembangan yang berlaku itu.

Soalnya kenapa Rafizi begitu ditakuti dan benarkah beliau merupakan ancaman kepada Anwar?

Pertamanya, haruslah disedari bahawa kembalinya Rafizi dalam dunia politik dan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR telah berjaya meniupkan angin segar dalam parti itu yang agak lesu sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Bukan saja ramai ahli PKR yang tambah bersemangat, bahkan masyarakat umum yang kebetulan ditemui juga teruja dengan kembalinya beliau itu.

Maka itu, kembalinya Rafizi bukan saja seharusnya diraikan, malah patut disokong kerana ia jelas memberi nilai tambah dan semangat kebangkitan kepada masa depan PKR dan PH, lebih penting turut sama mencerahkan lagi peluang Anwar menuju singsahsana Seri Perdana.

Tepuk dada dan tanya selera, adakah Saifuddin Nasution memiliki ciri-ciri seperti itu?

Sejak Langkah Sheraton atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung yang mana beliau juga dilihat orang paling kanan kepada Anwar, apakah angin segar dan nilai tambah yang berjaya ditiupnya?

Atau adakah mereka yang rapat dengan Anwar itu lebih selesa beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri asalkan tidak tergugat memegang jawatan Presiden PKR sehingga mati?

Keduanya, tidaklah susah untuk kita memikirkan dari segi rasional bahawa Rafizi sama sekali bukan ancaman kepada Anwar kerana bersamanya ada Nurul Izzah, anak Presiden PKR itu sendiri yang mengelola Ayuh Malaysia bagi memastikan ada sinar lebih cerah untuk memenangi PRU15 akan datang.

Tentulah mustahil Nurul Izzah sanggup memilih untuk bersama Rafizi jika tujuannya untuk mengenepikan bapanya sendiri yang merupakan obor reformasi dan tonggak kebangkitan politik pembangkang yang tiada tandingnya di negara ini.

Lebih daripada itu, Rafizi juga tidak pernah menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri bagi PH untuk PRU15 akan datang ini.

Jadi, melalui lorong mana Rafizi begitu ditakuti dan dianggap mengancam Anwar?

Kesediaannya bertanding jawatan nombor dua dalam PKR bersama Nurul Izzah melalui Ayuh Malaysianya hanyalah untuk menawarkan pilihan pelapis untuk masa depan buat PKR memandangkan Anwar sendiri sudah berusia 75 tahun ketika ini.

Dalam hal ini, walaupun Anwar masih boleh diletakkan sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU15, tetapi tentulah tidak munasabah jika namanya terus dicalonkan lagi untu jawatan tersebut dalam PRU16 nanti.

Anwar hanya boleh dikekalkan lagi sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU16 jika beliau berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri melalui PRU15.

Persoalan yang harus dicari jawapan ialah mampukah Anwar jadi Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang ini jika Saifuddin Nasution dan pasukannya yang akan memenangi pertandingan nanti? – ShahbudinHusin 08/05/2022.