Bercerita berkenaan dana NGO pulak


Semalam seorang lagi akauntan menziarahi saya di Laman Pok Nik. Dia memang macam “pelanggan tetap”, إن شاءالله akan sentiasa beraya di rumah saya setiap tahun.

Cerita punca cerita keluarlah cerita berkenaan orang-orang yang menubuhkan NGO untuk melakukan pelbagai jenis kebaikan. Itu tak ada masalah. Yang menjadi masalah ialah pengurusan kewangan. Jika rekod kewangan tidak mantap

, risiko orang yang menguruskan NGO termakan duit derma adalah tinggi.

Lebih dari itu, risiko termakan duit ini wujud juga jika pengurus-pengurusnya ada transaksi dengan NGO yang diuruskan seperti dibayar gaji, menjual aset peribadi kepada NGO, menjadi kontraktor kepada NGO dan pelbagai transaksi lagi yang dikawal dan ditentukan oleh pengurus berkenaan.

Di dalam sektor korporat ini dipanggil transaksi dengan pihak yang berkaitan (related party transaction). Jika transaksi-saksi ini tidak dibuat pada kadar yang wajar (fair value) yang sama sekiranya ianya berlaku dengan pihak lain yang tidak berkaitan, pengurus yang terlebih bayar atau meletakkan nilai yang lebih tinggi dari nilai pasaran mungkin sudah menzalimi NGO yang diuruskan itu.

Inilah sebabnya pemegang amanah boleh didakwa di mahkamah kerana pecah amanah walaupun duit yang terlibat adalah derma dari dirinya sendiri. Apabila sebuah yayasan ditubuhkan, ianya adalah sebuah institusi yang berdiri sendiri dengan tujuan khusus. Jika dana yang ada adalah 100% didermakan oleh pengasas yang kemudiannya menjadi pemegang amanah, dia tidak boleh menggunakan dana demikian sesuka hati. Jika dia membelanjakan dana berkenaan di luar dari tujuan penubuhan yayasan atau pun membayar dirinya elaun yang tidak ada asas yang kukuh, itu sudah boleh masuk ke ruang pecah amanah.

Satu lagi isu ialah kos pengurusan NGO. Adalah menjadi amalan global bahawa NGO yang

terbaik

ialah organisasi yang mana kos pengurusannya adalah terendah. Ini adalah kerana penderma yang menderma memaksudkan derma mereka sampai kepada orang-orang yang menjadi sasaran NGO, bukannya untuk menampung operasi NGO. Jika NGO perlu kereta, belilah kereta yang bersesuaian. Mengapa beli Vellfire jika Proton X50 sudah mampu mencapai maksud keperluan kepada kenderaan?

Sehari dua ini saya dimaklumkan berkenaan ”kebenaran Bank Negara” bahawa NGO boleh membelanjakan 30% dari derma yang dikutip untuk tujuan pengurusan. Ada beberapa masalah dengan “kebenaran” ini jika ianya benar-benar wujud:

1. Oleh kerana dana yang didermakan kepada NGO (tak kira apa bentuk NGO berkenaan) adalah dana amanah, setiap sen yang dibelanjakan mestilah bersesuaian dengan tujuan derma diterima. Lebih kecil perbelanjaan, lebih bagus. NGO yang membelanjakan sehingga 30% dari dana yang diterima amat tidak cekap (efficient). Maknanya pengurusan adalah lemah jika memerlukan peratusan kos pengurusan setinggi itu.

2. Penetapan kadar pengurusan akan menyebabkan orang-orang yang lemah imannya dan tidak ada nilai yang betul mengira bahawa 30% itu hak mereka sebagai pengurus, macam konsep amil zakat pula. Jadi, jika NGO demikian menerima RM 1 juta, RM 300 ribu sudah boleh masuk poket, tak kira samada ianya ada sebab yang sahih atau tidak.

3. Pengurusan NGO tidak akan berhati-hati di dalam membelanjakan dana kerana had pengurusan begitu tinggi. Ini boleh menyebabkan NGO membayar kos yang lebih tinggi dari harga pasaran. Takutnya ada pihak yang masyukk bila berurusan dengan NGO yang bersikap sedemikian.

Di Singapura, NGO atau pun NPO (Not For Profit Organisation) dikawal dengan ketat oleh kerajaan selepas skandal Singapore Kidney Foundation berlaku. Kes ini termasuk pembelian harta mewah, gaji CEO yang tinggi, manfaat perjalanan yang mewah dan sebagainya. NGO tidak boleh dijadikan alat kepada orang-orang yang tidak amanah untuk mengambil dana dari orang ramai dan menggunakan sebahagian dari dana berkenaan untuk menyenangkan pengurus-pengurusnya pula, bukan membantu orang-orang yang perlu dibantu secara maksima seperti yang dinyatakan di dalam tujuan penubuhan NGO.

Sebenarnya, perlunya mengawal kos pengurusan ini bukannya terhad kepada NGO dan NPO sahaja. Ianya perlu dijaga dengan penuh amanah bagi setiap institusi awam termasuk kerajaan dan agensi-agensinya serta badan-badan berkanun yang lain. Setiap sen yang dibelanjakan adalah dana awam, jadi kenalah diperhalusi setiap perbelanjaan agar amanah yang dipikul dilaksanakan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah apabila diaudit kelak. Yang lebih menakutkan ialah apabila diperkirakan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Ada berani?

Saya amat berkeyakinan sekiranya kita benar-benar takut kepada sifat keadilan Allah, kita tidak akan berani mengambil sesen pun dana yang bukan milik kita. Ini adalah kerana Allah maha mengetahui. Kita tak boleh kelentong Allah macam kita kelentong juruaudit di dunia. Kalau dah tertangkap, kita tak boleh buat represantasi supaya Peguam Negara kompaunkan sahaja, hanya sifat kasih sayang Allah yang boleh menyelamatkan kita.

Persoalannya, adakah mengambil harta orang lain secara sedar dan zalim menjadikan Allah sayang kepada kita? Adakah dengan menubuhkan rumah-rumah anak yatim dan pusat-pusat tahfiz Al Quran dengan duit yang didapati dengan menyalahgunakan kuasa dan rasuah sudah cukup untuk membersihkan dosa-dosa dari maksiat-maksiat besar itu? Bagaimana dengan orang-orang yang terzalim dengan jenayah berkenaan? Jika ianya melibatkan dana awam, habis rakyat satu negara yang terzalim? Ini semua hanya boleh kita ketahui apabila kita bertemu Allah di akhirat kelak. Beranikah mengambil risiko sebegini?

Semoga Allah memberi kita taufiq dan hidayah agar kita sentiasa melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan cara yang

terbaik

dan menjembut kasih sayang Allah kepada kita.