PETALING JAYA: Keputusan sama ada PKR bergerak solo, berunding, ‘perang’ atau menjalin kerjasama hanya akan ditentukan kepimpinan baharu, yang bakal terbentuk, pada 22 Mei ini, kata setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, justeru PKR tidak pernah membincangkan sebarang pendekatan ‘khemah besar’ menjelang pilihan raya umum, termasuk pendirian menjalin kerjasama dengan Bersatu.
“Perkara khemah besar tidak pernah dibincangkan dalam MPP (Majlis Pimpinan Pusat) atau dalam biro politik.
“(Kerjasama dengan Bersatu), Sehingga perkara itu berlaku, barulah PKR akan menentukan sikap atau pendirian. Buat masa ini, itu belum lagi berlaku,” katanya menurut laporan Awani.
Dalam pada itu, beliau yang juga calon timbalan presiden, berkata perspektif untuk mengembalikan semula hala tuju parti adalah formula kemenangan dan bukan pilihan individu.
Sebaliknya, beliau menambah ia melibatkan konsensus dan perbincangan dengan pelbagai pihak.
Selain itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, berkata PKR tetap berpegang kepada konsep keterbukaan.
“Kerana keterbukaan juga yang membolehkan sosok macam Adam Adli walaupun relatifnya baharu menyertai parti tetapi idealisme yang dia bawa itu sudah lama sebati dengan perjuangan PKR.
“Fadhilna Sidek seorang aktivis yang membawa isu-isu kanak-kanak, wanita, serta kekeluargaan yang sekarang memilih ikut serta dalam kepimpinan utama parti kerana sikap keterbukaan PKR yang tidak menentukan syarat (tempoh penglibatan),” katanya.