WALAU KASIH SUDAH DITOLAK, BERSATU TERUS MENGEMIS CINTA UMNO


 Walaupun sudah jelas UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15 akan datang, pimpinan parti tersebut nampaknya terus mengemis cinta daripada UMNO.

Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menzahirkan harapan agar gabungan beberapa parti Melayu yang membentuk kerajaan PN terus utuh dan kekal abadi.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti lain yang tidak menyertai PN terutama UMNO untuk membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama terbabit.

“Kita dah bincang dua hari lalu dalam mesyuarat Biro Politik dan MPT Bersatu, kita dah buat kenyataan rasmi tentang pendirian kita.

“Semalam kita pun adakan mesyuarat dengan Pas, dan Alhamdulillah Pas menyatakan pendirian yang cukup kukuh (untuk) kekal bersama Perikatan Nasional, meneruskan apa yang kita rancang, memperkukuhkan kerjasama antara parti yang ada dan memberi tumpuan pada pilihan raya.

“Saya fikir tidak menjadi apa-apa masalah walaupun kita mahu melihat gabungan parti Melayu, kalau boleh terus kekal abadi sampai ke depan, kerana rakyat suka.

“Tapi apa-apa pun, saya serahkan kepada rakan pimpinan parti lain, PN, Alhamdulillah keadaannya masih kukuh,” ujar beliau.

Ketua Penerangan PN, Azmin juga turut berharap pimpinan UMNO terus dapat bekerjasama dengan PN dan meneliti semula keputusan parti berkenaan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

Beliau yang merupakan pelompat katak daripada PKR kepada Bersatu berkata, PN sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin terus stabil dan kukuh bagi meneruskan usahanya membantu rakyat di kala pandemik Covid-19 masih lagi melanda negara.

“Kita berharap pimpinan tertentu dalam UMNO dapat ambil sikap untuk teliti semula keputusan itu.

“PN ini dibentuk dengan cita-cita yang cukup murni, perpaduan itu amat penting, pemeliharaan terhadap perlembagaan dan undang-undang itu perlu dijunjung, kita mahu kestabilan dalam negara ini dipelihara.

“Kita tidak mahu mana-mana pihak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab, yang akan menyebabkan ketidakstabilan terhadap kerajaan kerana ia akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa,” katanya lagi.

Speaker Dewan Negara, Dr. Rais Yatim pula berkata, UMNO dan Bersatu perlu terus bermuafakat demi masa depan dan pemegangan politik kepada orang Melayu dapat dikekalkan.

Beliau yang juga pelompat daripada UMNO kepada Bersatu selepas BN kalah pada PRU 2018 lalu menambah, hubungan antara kedua-dua parti Melayu itu tidak boleh ‘berpatah arang’ begitu sahaja.

Dengan itu, Dr. Rais tetap meletakkan harapan agar UMNO dan Bersatu akan dapat kembali mengadakan kerjasama.

“UMNO sahaja tidak boleh berkuasa dan Bersatu sahaja pun tidak boleh berkuasa waima dengan PAS (perlu kerjasama).

“Komponen parti Melayu ini mesti sedar pentingnya mereka bermuafakat,” katanya.

Hmmmmm….

Selepas ini mungkin ramai lagi pemimpin Bersatu bercakap dengan nada yang sama dan ini memperlihatkan parti itu sedar mereka tidak boleh terus hidup tanpa bantuan UMNO.

Walaupun jelas sudah ditolak, ada kenyataan media, ada usul, ada surat bertulis daripada Zahid Hamidi kepada Muhyiddin dan ada keputusan mesyuarat, Bersatu nampaknya terus menagih cinta daripada UMNO.

Yang nyata, dengan keputusan UMNO tidak mahu bersama, Bersatu kini sudah terbayang kuasa yang dipegang melalui pengkhianatan sejak setahun lalu pasti akan bertukar tangan.

Selain Muhyiddin yang takut kehilangan kuasa, golongan-golongan pelompat tentulah jauh lebih takut lagi perasaan mereka.

Itulah sebabnya pujuk rayu dan kata-kata manis menagih cinta ini terus diluahkan, malah ia dijangka bakal berterusan dilakukan.

Tidak mustahil, selepas pujuk rayu dan luahan kata-kata manis, menyusul pula hadiah serta ganjaran yang lumayan sebagai tawaran.

Cuma, untuk masa-masa mendatang, mampukah UMNO terus bertahan dan tidak tergoda dengan segala usaha serta kejaran cinta yang ditagih oleh Bersatu itu? (Shahbudindotcom 07/03/2021)





No comments: