JIKA UMNO BOLEH JATUHKAN PEJA KERANA RASA TIDAK PUAS HATI.KENAPA PERASAAN SAMA TERHADAP MUHYIDDIN MASIH MAHU DIPENDAM?

 

Asas utama mengapa UMNO bertindak menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu atau Peja ialah kerana tidak puas hari dengan beberapa tindakan bekas Menteri Besar Perak itu.

Rasa tidak puas hati itu pada asasnya didorong oleh dua sebab yang utama – perlantikan Setiausaha Politik dan penjualan ladang milik kerajaan negeri kepada sebuah syarikat Singapura di bawah harga pasaran.

UMNO benar-benar tidak puas hati, tersinggung dan marah dengan tindakan Peja melantik Adun UMNO Pengkalan Hulu dalam Bahagian Gerik, Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politiknya tanpa meminta izin atau berunding dengan mereka terlebih dahulu.

Lebih membuatkan UMNO marah lagi ialah bila Peja mempertahkan perlantikan itu dengan mengatakan ia adalah dalam bidang kuasanya dan tidak memerlukan beliau berunding dengan sesiapa.

Bagi penjualan ladang milik kerajaan negeri pula, UMNO melalui Najib Razak mendedahkan, ladang seluas 15 ribu hektar dan bernilai RM1.03 bilion itu telah dijual kepada sebuah syarikat Singapura dengan harga RM342 juta saja.

Ladang itu juga, tambah Najib, memberi keuntungan tahunan sebanyak RM40 juta kepada kerajaan negeri Perak sebelum ini.

“Itulah sebabnya UMNO menarik balik sokongan terhadap Peja,” dedah Najib melalui media sosialnya.

Bermakna, dengan jumlah kerusi Dun terbanyak di Perak dan disebabkan wujud perasaan tidak puas hati terhadap Peja, UMNO tanpa berfikir panjang lagi telah bertindak menjatuhkan seorang ketua kerajaan negeri.

Dari segi politik, itulah tindakan yang bijak di mana UMNO tahu menggunakan kuasa atau kelebihan yang ada padanya bila mereka tidak lagi dihormati.

Menyamai dengan apa yang berlaku di Perak, UMNO juga ada banyak perasaan tidak puas hati terhadap Muhyiddin Yassin di peringkat pusat.

Dari segi pengagihan jawatan dan kementerian, walaupun UMNO dan BN mempunyai 42 kerusi iaitu terbanyak juga jumlahnya, tetapi pemberian itu nyata tidak dilakukan dengan adil.

Selain tidak diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, menteri kanan untuk UMNO pula hanya diperuntukkan satu berbanding Bersatu diberikan dua.

Begitu juga dengan kementerian kanan dan strategik, semuanya dibolot oleh Bersatu atau mereka yang keluar daripada UMNO dan PKR untuk menyertai parti pimpinan Muhyiddin itu.

Dari segi penjualan aset kerajaan, sebagaimana di Perak, kerajaan PN turut melakukan penjualan meragukan dan ia memang menimbulkan rasa tidak puas hati UMNO terhadapnya.

Yang terbaru ialah bila PNB menjual pegangan 56.3 peratus sahamnya dalam CCM Bhd kepada sebuah syarikat bukan Bumiputera, Batu Kawan Bhd.

Bagi UMNO, tindakan PNB itu adalah menyedihkan kerana CCM merupakan syarikat yang menguntungkan, selain memperlihatkan PNB yang sepatutnya berperanan melindungi kepentingan Bumiputera telah bertindak berlawanan dengan fungsinya dalam urusniaga yang dijalankan itu.

Yang paling UMNO tidak puas hati dengan Muhyiddin ialah berkaitan tuntutan mereka untuk pengeluaran KWSP dan lanjutan moratorium selama enam bulan lagi.

Dalam perbahasan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Najib selaku Pengerusi BNBBC jelas menyatakan sokongan mereka terhadap belanjawan adalah dengan syarat dua tuntutan itu mesti dipenuhi oleh kerajaan.

Menjelang pengundian peringkat dasar, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberi komitmen untuk memenuhi tuntutan tersebut sehingga belanjawan akhirnya diluluskan dengan mudah.

Namun, apa yang berlaku tidak seperti yang dijanjikan di mana bukan saja tidak moratorium wajib yang diperkenalkan, janji pengeluaran KWSP yang diperkenalkan masih tertakluk dengan beberapa syarat dan kriteria melecehkan.

Ia menyebabkan UMNO tanpa malu-malu melabelkan program i-Sinar KWSP itu sebagai i-kecewa, i-malap, i-kencing dan sebagainya.

Sehingga semalam pun, Presiden UMNO, Zahid Hamidi masih bersuara meluahkan rasa tidak puas hati berkaitan pengeluaran KWSP itu dan menuntut ia dipermudahkan sebagaimana dijanjikan.

Najib pula, dalam posting di media sosialnya, turut tidak henti-henti menuntut pengeluaran KWSP oleh pencarum dipermudahkan di kala rakyat kesusahan dan memerlukan wang sekarang ini.

Isunya di sini jika kerana tidak puas hati terhadap Peja boleh membuatkan UMNO bertindak menarik sokongan dan menjatuhkannya, mengapa tidak dilakukan hal yang sama terhadap Muhyiddin?

Bukankah rasa tidak puas hati UMNO terhadap Muhyiddin jauh lebih besar lagi berbanding perasaan tidak puas hati terhadap Peja?

Bukankah sikap tidak menghormati dan membuli UMNO oleh Muhyiddin juga jauh lebih menyakitkan daripada apa yang dilakukan Peja?

UMNO nak tunggu apa lagi sebenarnya? 

(Shahbudindotcom 06/12/2020)



No comments: