Wakil rakyat tidak hadir sidang Parlimen wajar diambil tindakan
kerana tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pengundi kepada
mereka.
NGO Majlis Gabungan Media Digital Malaysia (MEMO) dalam satu kenyataan menyarankan agar rakyat membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang ponteng sidang Dewan Rakyat.
"Sejak akhir-akhir ini sikap segelintir Ahli Parlimen Malaysia semakin menjengkelkan. Mereka tidak menunjukkan sikap yang profesional, sebaliknya bersikap seperti kebudak-budakan dan tidak bertanggungjawab
"Dengan senang hati, tanpa rasa bersalah mereka tidak hadir ke Parlimen untuk melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat, dengan turut serta dalam undi belah bahagi
"Siapakah yang mereka wakili? Diri mereka sendiri? Atau rakyat di kawasan mereka?
"MEMO menyarankan supaya rakyat bertindak terhadap Ahli Parlimen yang tidak menjalankan amanah sebagai wakil rakyat
"MEMO mengusulkan supaya rakyat membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau laporan polis terhadap mereka yang mengkhianati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Menurut MEMO lagi, wakil rakyat yang dibayar gaji sepatutnya membawa suara rakyat dan berdebat di dewan.
Terutama ketika perbahasan Belanjawan 2021 yang menyangkut kesukaran rakyat menghadapi kehidupan harian.
"MEMO mendapati banyak perkara di dalam belanjawan tidak mengutamakan kebajikan rakyat seperti yang dititahkan oleh oleh Yang di-Pertuan Agong, iaitu menangani isu pandemik Covid-19 serta kesan ekonomi yang dideritai rakyat
"Kelakuan Ahli Parlimen pula jelik, kasar, membuat bising dan mengganggu majlis. Manakala Speaker bersikap tidak bebas seperti sewajarnya," kata kenyataan itu.
Selain itu, MEMO juga mengambil maklum terhadap pemfailan saman oleh 10 pengundi di Parlimen Gombak terhadap Datuk Seri Azmin Ali seperti yang ditularkan di dalam media.
NGO itu mengusulkan agar pemfailan saman yang sama dibuat ke atas semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang melompat parti dan menggunakan Manifesto PH dalam PRU ke 14.
"MEMO mencadangkan laporan polis dan SPRM dibuat terhadap mereka kerana menipu rakyat kawasan mereka
"Rakyat telah berusaha dengan peluh dan air mata, untuk memenangkan mereka pada PRU lalu, demi menghapuskan rasuah dan kleptokrasi
"Rakyat kecewa kerana wakil rakyat yang melompat itu telah secara tidak bertanggungjawab membelakangkan mandat yang diberi oleh rakyat," kata MEMO lagi.
Sehubungan itu MEMO mahu wakil rakyat, sama ada di pihak pembangkang mahupun kerajaan memahami bahawa mereka bertanggungjawab terhadap rakyat bukannya parti atau pemimpin mereka semata-mata.
Justeru, MEMO berpendirian wakil rakyat memahami dan wajar melaksanakan tanggungjawab mereka serta tidak mengkhianati janji semasa PRU 14 dahulu.