Tiada yang mustahil, Amanah Perak sedia kerjasama dengan parti lain


Amanah Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan yang stabil.

IPOH: “Tiada yang mustahil” apabila tiba masanya untuk membentuk gabungan baru, kata Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.

“Dalam situasi mencabar ini, kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan yang stabil,” katanya kepada Bernama ketika ditanya sama ada Amanah Perak sanggup bekerjasama dengan parti lain di Perak untuk menubuhkan kerajaan negeri baru.

Asmuni antara 3 pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini selepas Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam undi percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri semalam.

Dua lagi pemimpin PH ialah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Semalam, Faizal hanya mendapat 10 undi menyokong berbanding 48 undi menolak dan seorang lagi Adun berkecuali dalam usul undi percaya terhadapnya yang dibawakan Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

DUN Perak terdiri daripada 25 Adun Barisan Nasional yang semuanya Umno, DAP (16), PPBM (5), Amanah (5), PKR (3), PAS (3) dan masing-masing satu daripada Gerakan dan bebas.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz dilaporkan mencadangkan Umno bekerjasama dengan Amanah dan PKR untuk membentuk sebuah kerajaan baru di Perak.

Beliau dilaporkan berkata, tidak mustahil berbuat demikian kerana parti itu bersama menolak usul undi percaya terhadap Faizal.

Kenyataan sama juga dibuat Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari yang berkata, apapun boleh berlaku selagi ia mematuhi Perlembagaan dan tidak bertentangan norma.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat khas Umno Perak malam ini yang dihadiri Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Nazri sendiri, tiada pemimpin PH yang hadir.