UNTUK KESTABILAN PERAK,ADALAH MUNASABAH UMNO KETEPIKAN BERSATU DAN AMBIL PH SEBAGAI RAKAN GABUNGAN

 

Sementara siapa pemimpin UMNO yang akan mengisi jawatan Menteri Besar Perak belum dapat dipastikan lagi, apa bentuk kerajaan baru yang bakal terbentuk di negeri itu juga masih merupakan teka-teki.

Bagi jawatan Menteri Besar, difahamkan tiga nama sedang bersaing – Sharani Mohamad, Zambry Abdul Kadir dan Shahrul Zaman Yahya.

Tetapi, berdasarkan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, barangkali Sharani adalah calon pilihan utama untuk mengisi jawatan tersebut.

Jika bukan Sharani menjadi Menteri Besar Perak, UMNO Perak akan terdedah kepada perpecahan dan pergolakan sesama sendiri.

Dari segi bentuk kerajaan pula, beberapa pemimpin UMNO Pusat seperti Setiausaha Agung parti itu, Ahmad Maslan dan Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan misalnya, mereka lebih mahu PN terus kekal mentadbir Perak selepas jatuhnya Peja.

Bagi kedua-dua mereka, hanya jawatan Menteri Besar yang perlu diisi baru dan status quo Exco Kerajaan Negeri haruslah dikekalkan, selain Bersatu dikehendaki berjiwa besar menerima perubahan yang berlaku.

Walaupun nampak mudah, realitinya tidaklah semudah itu bagi Bersatu, khususnya Peja sendiri untuk menerima pemimpin UMNO sebagai Menteri Besar setelah beliau sendiri dijatuhkan oleh parti itu dengan cara yang begitu mengaibkan melalui undi percaya yang sebenarnya bermaksud undi tidak percaya terhadapnya.

Siapa pun akan terasa hati bila dikhianati begitu, dengan itu saranan UMNO agar Bersatu berjiwa besar menerima pemimpin mereka pula menerajui kerajaan negeri nampak tidak munasabah.

Bahkan, jika pun Bersatu akhirnya sedia menerima UMNO menerajui Perak, keikhlasan dan kemungkinan mereka pula menjatuhkan semula Menteri Besar tidak mustahil akan berulang kembali.

Ini kerana, PN dengan UMNO ada 25 kerusi, Bersatu 5 dan Pas 3, kedudukan kerajaan negeri tetap dengan majoriti tipis dan tidak menjanjikan kestabilan jangka panjang.

Pemimpin berpengalaman UMNO, Nazri Aziz sebelum itu mencadangkan agar UMNO bekerjasama dengan PKR dan Amanah bagi membentuk kerajaan baru.

Saranan beliau itu susulan kenyataan Pas yang mempunyai 3 Adun Perak enggan menyertai kerajaan negeri susulan kecewa dengan cara Peja dijatuhkan oleh UMNO.

Cadangan Nazri ini juga agak mustahil kerana PKR dan Amanah tidak mungkin meninggalkan DAP semata-mata untuk bersama dengan UMNO.

Maka itu, untuk keharmonian kestabilan jangka panjang, UMNO sebenarnya tiada pilihan lain selain harus bekerjasama dengan PH secara pukal untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Dengan UMNO ada 25 kerusi dan PH mempunyai 24 kerusi, jumlah 49 kerusi yang tergabung itu bukan saja menjanjikan lebih kestabilan, malahnya kukuhnya sukar untuk digoncang oleh sesiapa jua.

Lagi pula, berbanding bekerjasama dengan Peja yang pernah mengkhianati PH, gabungan itu tiada masalah menerima Menteri Besar daripada UMNO dan untuk saling bekerjasama demi kepentingan negeri Perak seluruhnya.

Tambahan lagi, dengan jumlah kerusi UMNO lebih banyak berbanding PH, PH tentu saja faham bahawa kerusi Menteri Besar memang selayaknya diberikan kepada parti itu.

Yang lebih penting lagi, bekerjasamanya UMNO dengan PH membentuk kerajaan negeri, ia hanya melibatkan kerjasama dalam kerajaan semata-mata dan tidak termasuk soal berbahagi kerusi dalam pilihanraya.

Maknanya, walaupun bersama dalam sebuah kerajaan, apabila tiba masa pilihanraya, UMNO dan PH boleh bebas bertanding di kawasan yang masing-masing biasa bertanding sebelum ini.

Dengan itu, kedudukan UMNO sebagai parti dominan orang Melayu dan perlunya mereka bertanding banyak kerusi Melayu tidak terjejas apa-apa.

Berbeza jika bersama Bersatu dengan Pas, sudahlah kena berkongsi jawatan dalam kerajaan, UMNO juga kena berkongsi dan mungkin perlu berkorban dengan menyerahkan banyak kerusi tradisinya, khususnya kepada Bersatu.

Kerajaan campuran UMNO dan PH itu juga adalah lambang sebenar dinamika politik ke arah kestabilan serta keharmonian pelbagai kaum, bukan saja di Perak, tetapi juga di Malaysia secara terangkumnya. 

(Shahbudindotcom 06/12/2020)



No comments: