Mahasiswa UIA Adakan Demonstrasi Bantah Campurtangan Pihak Luar

GOMBAK, 25 NOV : Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendesak pihak luar supaya tidak campur tangan terhadap hal ehwal pentadbiran pusat pengajian itu ekoran beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini.

Bantahan secara aman itu disuarakan kira-kira 200 mahasiswa di perkarangan Masjid UIA selepas solat Jumaat di sini hari ini.

Penganjur protes itu mendakwa dalam tempoh kurang daripada 100 hari, telah berlaku sekurang-kurangnya empat peristiwa hitam yang mengecewakan dan menjatuhkan nama baik institusi tersebut pada pandangan umum.

Peristiwa tersebut adalah larangan Ustaz Azhar Idrus daripada berkuliah di dalam Masjid UIA, pembatalan penyertaan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA dalam panel program Hujah TV9, pengantungan tugasan Prof Dr Aziz Bari dan terkini, pembatalan secara ad-hoc program "In Person With" dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dibatalkan secara ad-hoc.

Setiausaha Agung Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Akram Ikrami Taib Azamudden yang mengetuai demonstrasi itu mengesa pentadbiran universiti supaya tidak menyekat pimpinan mahasiswa, sebaliknya memberi kebebasan kepada mereka untuk bersuara.

Menurutnya, keadilan perlu ditegakkan supaya keamanan dapat diwujudkan khususnya dalam membina sahsiah mahasiswa untuk membentuk jati diri yang kukuh dan bersikap daya saing.

"Sebagai contoh, kita tuntut salah satu dari empat perkara itu bila mana pihak pentadbiran mengekang Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UIA, Profesor Dr Abdul Aziz Bari daripada muncul di kaca televisyen untuk rancangan Hujjah.

Bagi kita ia menyekat soal intelektual mahasiswa. Kenapa tidak dibuka ruang seluasnya, khususnya untuk dia (Aziz) bersuara kerana dia berada di kerusi itu atas pilihan rakyat dan mahasiswa UIA secara keseluruhannya," tegasnya.

Sementara itu, pemimpin pro-mahasiswa UIA, Nurul Farhan Omar berkata, pengrurusan universiti itu sudah sampai ke tahap yang membimbangkan sehingga tidak wujud lagi dasar ketelusan.

"Selepas ini pihak pentadbiran perlulah bersifat lebih telus dalam pengurusan dan kami mengharapkan tiada campur tangan kerana kami mendukung mahasiswa boleh berakademik, bersuara untuk apa yang mereka percayai dan mahasiswa perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk membesar sebagai individu yang bakal memimpin negara suatu hari nanti."