AMK Kepada Najib : Buktikan Iltizam Kerajaan Mansuh AUKU

JOHOR BAHRU, 25 NOV : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak harus membuktikan keikhlasan ikrarnya meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 dengan membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan kepada mahasiswa di Universiti Malaya.

Pindaan Seksyen 15 AUKU merupakan antara rangkaian janji yang diutarakan Najib dikala Malaysia bakal menghadapi pilihanraya umum ke-13.

Sebelum ini, ramai pihak melahirkan kehampaan apabila 13 individu ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri walaupun Najib telah berjanji akan memansuhkan akta tersebut.

"Saya akan buat permohonan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak supaya membenarkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di Universiti Malaya. Kita mahu lihat sama ada Perdana Menteri berani atau tidak," demikian desakan daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin.

AUKU merupakan undang-undang kontroversi yang menghalang pembabitan mahasiswa dengan mana-mana parti politik. Dalam pilihanraya kampus tahun ini, kumpulan mahasiswa pro-Pakatan menumpaskan mahasiswa pro-Barisan Nasional dan menawan badan perwakilan pelajar di beberapa universiti tempatan.

"Selepas Kongres ini, saya akan meminta rakan AMK di seluruh negara agar bergerak masuk ke dalam kampus. Kita akan bermula dengan universiti yang paling tua, iaitu Universiti Malaya,"

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar sempena pembukaan rasmi Kongres Angkatan Muda keadilan di Pulai Springs Resort di Pulai sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul melahirkan kebimbangan dengan sikap kerajaan memusuhi mahasiswa dan cendekiawan kritikal seperti penggantungan Prof Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa dan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa di mahkamah kerana membuat tinjuan di pilihanraya kecil Hulu Selangor.

"Universiti tidak sekadar ladang ternakan ilmuwan muda yang taat membuta tuli kepada pemerintah," kata Shamsul.

"Seharusnya hujah dihadapi dengan hujah, bukan dengan kuasa. Betapa pemerintah tidak toleran dengan perbezaan," tambah beliau.

No comments: