AMK : Bersihkan Pilihanraya Atau Bertempur Di Jalanraya

JOHOR BAHRU, 25 NOV : Tunaikan 8 tuntutan Bersih, atau hadapi ledakan tunjuk perasaan di jalanraya.

Begitu kata dua Angkatan Muda Keadilan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak, meskipun pihak rejim baru-baru ini mengemukakan pelan memperkenalkan akta anti-Artikel 10 Perlembagaan yang lebih keras.

"Kalau mereka terus menghimpit kita, mereka masih mahu menipu pada pilihanraya, hanya ada satu sahaja pilihan iaitu lupakan pilihanraya....kita gunakan jalan raya!," sahut Shamsul disambut sorakan dari para perwakilan Kongres AMK ke-8.

Tunjuk perasaan merupakan jalan terakhir sekiranya kerajaan masih lagi berdolak-dalik atau menolak cadangan reformasi sistem pilihanraya negara yang diusulkan Bersih 2.0

Pada 9 Julai lalu, sekatan polis di setiap laluan masuk ke ibu negara gagal menyekat 30,000 rakyat menyertai himpunan Bersih 2.0.

Perarakan tersebut tercetus sebagai tanda protes rakyat terhadap sistem pilihanraya yang didakwa pincang, dan alasan demi alasan yang diberi untuk tidak melaksanakan penambahbaikan.

Tunjuk perasaan turut meletus di beberapa lokasi penting seperti Dataran Maybank, KLCC dan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya 1,600 orang ditahan, ramai lagi yang cedera akibat dipukul polis bersenjata dan satu kehilangan nyawa.

"Pilihanraya kali ini adalah detik penting bagi kita kerana ia adalah persimpangan untuk kita," kata Shamsul kepada perwakilan yang hadir.

"Adakah kita mahu membiarkan Umno-BN terus menjadi tuan dinegara ini?" tegasnya lagi.

Sementara itu, jentera Angkatan Muda diarah bersiap-sedia untuk kerahan segera ke lapangan menanti pengumuman pembubaran Parlimen.

"Untuk kita menang pada pilihanraya kali ini, pastikan jentera setiap cabang dan negeri kuat untuk pilihanraya. Kita masih percaya pada saluran pilihanraya," kata Shamsul.

No comments: