P/raya Sarawak : Anwar Sahkan Rundingan Kerusi PR Selesai



KUALA LUMPUR 28 MAC : Pakatan Rakyat berjaya menyelesaikan pengagihan kerusi untuk pilihan raya negeri Sarawak 6 April ini dengan DAP bertanding 15 kerusi, PAS, 5 kerusi manakala baki kerusi yang selebihnya tertakluk kepada rundingan antara PKR dan Parti Kebangsaan Sarawak(SNAP), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengesahkan PKR akan bertanding di sekurang-kurangnya 24 kerusi manakala rundingan masih berlangsung berhubung tuntutan bertindih di 23 kerusi dengan SNAP.

Anwar selaku Ketua Pembangkang menjelaskan kelewatan rundingan dengan SNAP adalah kerana parti Sarawak itu sendiri lewat membincangkan pembahagian kerusi DUN Sarawak.

"Kita berjaya memberikan keputusan muktamad tentang pembahagian kerusi pilihanraya ini diantara Pas, DAP dan PKR. DAP bertanding di kerusi majoriti pengundi Cina, 15 kerusi. Pas, lima dan yang lain itu PKR tetapi ada rundingan, pagi tadi antara pimpinan SNAP dengan YB Azmin, petangnya disambung pula oleh YB Tian Chua," jelas beliau.

Kata beliau, kesemua keputusan kerusi dan pembahagiannya dilakukan oleh pimpinan negeri tersebut dan tugas jawatankuasa pusat parti hanya mengesahkan maklumat yang diterima dari Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak.

Tambah beliau, memandangkan keputusan dibuat oleh pimpinan parti maka pengumuman serta penetapan calon dan kerusi juga akan dibuat oleh parti masing- masing dan akan diumumkan di Sarawak nanti.

"Kita disini hanya mengesahkan perundingan di peringkat negeri, pandangan dari DAP negeri, Pas negeri dan PKR negeri. Maka pengumuman itu wajar dilakukan di peringkat negeri," kata beliau.

Tambah beliau, rundingan antara PKR dan SNAP pula tidak akan melibatkan kerusi yang telah diperuntukkan kepada Pas dan DAP, dan PKR juga tidak akan berkompromi dalam hal ini.