
Realiti dalam PN memperlihatkan keputusan penting lebih banyak dipengaruhi kehendak kelompok tertentu berbanding persetujuan semua pihak sekali gus menolak prinsip ‘musyawarah’ yang dicanang selama ini.
PENDAPAT, 24 Mei – Tindakan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dilihat semakin jelas terserlah apabila istilah “musyawarah” kononnya sering dilaungkan hanya menjadi retorik politik dalam Perikatan Nasional (PN).
Walaupun konsep musyawarah membawa maksud perbincangan bersama secara adil dan terbuka demi mencapai keputusan kolektif, realitinya dalam PN memperlihatkan keputusan penting lebih banyak dipengaruhi kehendak kelompok tertentu berbanding persetujuan semua pihak.
Dalam ‘penampakkan’ Abdul Hadi menyerlahkan sisi imej seorang pemimpin yang menekankan prinsip ‘Islam’ dalam pentadbiran politik, namun tindakan dan pendekatannya dalam PN dilihat bercanggah dengan semangat sebenar musyawarah.
Tidak hairanlah Bersatu semakin ‘menjauhkan diri’ seolah-olah merasa ‘dibuli’ dalam gabungan itu hanya kerana mereka diperlekehkan tidak cukup jentera lapangan dan sebagainya.
Malah, banyak keputusan besar gabungan itu, termasuk soal kepimpinan dan hala tuju politik, dibuat tanpa penjelasan menyeluruh kepada akar umbi mahupun rakan parti komponen.
Ibarat sekapal, kononnya tidur sebantal, tapi mimpi lain-lain hingga Abdul Hadi pada sidang media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Masjid Rusila, Marang, semacam melafazkan ‘cerai politik’ secara kinayah.
Dalam sidang media itu, ahli parlimen Marang itu menegaskan Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti itu, termasuk di Perlis dan Negeri Sembilan.
Ditambah lagi dengan penyingkiran Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi, ini menimbulkan persepsi bahawa musyawarah hanya digunakan sebagai slogan untuk menjaga imej politik, sedangkan keputusan sebenar sudah ditentukan lebih awal.
Lebih ketara, apabila timbul perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin PN sendiri, pendekatan yang diambil bukanlah membuka ruang dialog secara matang, sebaliknya pihak yang tidak sehaluan sering dipinggirkan atau ditekan secara halus.
Sikap sedemikian jelas bertentangan dengan prinsip syura yang menuntut keterbukaan, kejujuran dan penghormatan terhadap pandangan berbeza.
Kegelisahan rakyat terutama penyokong mereka sendiri melihat bagaimana seruan perpaduan dan musyawarah hanya kedengaran indah ketika berucap di pentas politik, tetapi gagal diterjemahkan dalam pengurusan dan keputusan dalaman gabungan.
Kalau pun ‘terdesak’ mahu menerima kumpulan ‘Reset’ diketuai Hamzah Zainudin yang lebih ‘lunak’ dengan selera Abdul Hadi, adalah tidak wajar mengetepikan jasa Bersatu dan Muhyiddin ‘merasa’ menjadi ‘kerajaan tebuk atap’ 33 bulan.
Hakikat ‘musyawarah’ dalam PN tidak lebih hanya mengaburi mata rakyat sedangkan realiti sebenar tidaklah seindah yang difantasikan pentaksub yang ‘walak’ membabi buta.


No comments:
Post a Comment