Berikutan tindakan Bersih mengadakan demonstrasi ke Parlimen Selasa lalu yang cuma dihadiri 100 peserta, banyak pihak, terutama yang pro Anwar Ibrahim, tampil mengecam dan memperlekeh gabungan pemantau pilihan raya itu.
Bersih mengadakan demonstrasi berkenaan untuk menuntut kerajaan melaksanakan semua agenda reformasi dengan sesegera mungkin melalui tema #reformasi100peratus.
Disebabkan hanya 100 peserta saja yang hadir, rata-rata mengatakan Bersih sudah hilang taring dan tidak lagi segagah dulu di ketika ia bergerak seiring dan berganding tangan dengan PH dalam mengadakan beberapa demonstrasi jalanan.
Tanpa PH, kata mereka, Bersih hanya tinggal nyawa-nyawa ikan.
Tidak kurang yang mengecam Bersih kerana tuntutan reformasi yang mereka utarakan itu.
Menurut mereka yang mengecam itu, tuntutan Bersih melalui demonstrasi agar reformasi segera dilaksanakan adalah tidak munasabah kerana sebarang perubahan memerlukan masa.
Tambah yang lain, reformasi adalah gerakan evolusi dan bukan demonstrasi.
Secara mudah, kesimpulan bagi mereka yang ingin mempertahankan Anwar itu, demonstrasi Bersih tersebut adalah gagal.
Namun, di sebalik kecaman dan perlecehan itu, hanya sehari selepas Bersih mengadakan demonstrasi menuju ke Parlimen, gabungan itu tiba-tiba dijemput mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam (Rabu).
Dalam perjumpaan itu, Bersih berkata, Anwar pada prinsipnya bersetuju dengan beberapa daripada 10 pembaharuan yang dibentangkan semasa mesyuarat mereka.
“Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau secara prinsip bersetuju dengan beberapa perkara, namun ada beberapa reformasi yang beliau rasakan perlu ada perbincangan lanjut,” kata kumpulan itu lagi.
Dalam satu kenyataan berasingan, Anwar berkata beberapa pembaharuan yang dicadangkan Bersih kepada kerajaan sudah pun dipertimbangkan kerajaan.
“Kerajaan Perpaduan terbuka kepada sebarang rekomendasi atau saranan pihak Bersih, khususnya dalam penambahbaikan proses pilihan raya dan reformasi institusi.
“Beberapa saranan pihak Bersih menjadi perhatian saya dan terdapat antara cadangan dalam memorandum tersebut telah pun berada dalam pertimbangan dan tindakan kerajaan perpaduan,” katanya.
Apa yang nyata, dengan hanya sehari setelah berdemonstrasi yang dihadiri cuma 100 peserta dan dianggap tidak berjaya, tetapi Bersih kemudiannya sudah dijemput bertemu Perdana Menteri, ertinya demonstrasi yang mereka lakukan tidaklah boleh dianggap gagal.
Malah, jika mengambil kira tiada mana-mana kumpulan pendemo sebelum ini pernah mendapat jemputan bertemu Perdana Menteri hanya sehari selepas mengadakan demonstrasi, Bersih boleh dikira amat berjaya.
Tuntutan reformasi mereka kepada kerajaan maknanya mendapat perhatian yang segera dan pantas daripada Perdana Menteri sendiri.
Kenapakah keadaan ini berlaku?
Siapa Pengerusi Bersih sekarang, Mohd Faisal Abdul Aziz yang nampaknya begitu mendapat perhatian yang istimewa daripada Anwar sendiri?
Kepada yang belum tahu, Mohd Faisal adalah bekas Presiden Abim sesi 2019 -2023.
Anwar pula menjadi Presiden Abim antara tahun 1974 – 1982.
Sebagaimana diketahui umum, walaupun Abim itu bermaksud Angkatan Belia Islam Malaysia, tetapi ia juga sering dijolok sebagai singkatan nama Anwar bin Ibrahim.
Sebab itu, tidak menghairankan apabila Abim sepanjang masa dilihat sebagai gerakan yang pro Anwar, manakala mereka yang menjadi presiden pula dianggap mempunyai hubungan baik dengan beliau.
Nah…itulah barangkali sebabnya hanya sehari selepas berdemonstrasi, Bersih yang kini dipimpin Mohd Faisal dapat dengan mudah mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Dalam hal ini, tidak mustahilkah demonstrasi menuntut reformasi anjuran Bersih yang berarak ke Parlimen, Selasa lalu, walaupun cuma dihadiri cuma 100 peserta, adalah perancangan bersama untuk memperlihatkan Anwar seorang yang sentiasa responsif terhadap tuntutan reformasi, di samping gabungan itu sendiri dilihat kekal sebagai kumpulan pendesak yang berkesan terhadap kerajaan?
Dan apa khabar sekarang mereka yang semalam mengutuk dan melekehkan Bersih ? – ShahbudinHusin 29/02/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/02/29/pengerusi-bersih-adalah-bekas-presiden-abim-sebab-itu-demo-100-peserta-mudah-dapat-perhatian-pm.html