KENAPA TITAH AGONG TIDAK DIHORMATI?


Ketika merasmikan pembukaan Parlimen semalam, antara intipati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ialah peringatan baginda kepada Ahli-Ahli Parlimen  bahawa baginda tidak akan melayan sebarang percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.


Baginda bertitah, semua orang harus menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk dan baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik negara.


"Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk. 


“Jika ada hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda lagi.


Tidak dinafikan, titah tersebut adalah titah yang baik demi kepentingan negara serta rakyat.


Bagaimanapun, ketika sesi Parlimen bermula hari ini, lain pula jadinya.


Titah Agong itu bukannya hendak dijunjung dan dihormati, tetapi seperti cuba dipertikaikan pula.


Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan menyifatkan titah Agong mengenai pertukaran kerajaan adalah pandangan peribadi baginda.


Kata beliau, seorang Perdana Menteri boleh dianggap hilang keyakinan melalui beberapa kaedah yang dinyatakan dalam perlembagaan.


Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu,  setiap orang perlu memberikan pandangan berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.


"Itu pandangan Tuanku, tapi siapa pun yang bercakap ia mesti mengikut Perlembagaan Persekutuan... apa-apa pun mesti ikut perlembagaan," katanya.


Takiyuddin yang juga seorang peguam menambah, seorang Perdana Menteri boleh digantikan walaupun ketika Parlimen masih berkuat kuasa, iaitu apabila individu terbabit hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.


Hal tersebut, katanya, termaktub dalam perlembagaan.


"(Dalam Parlimen) boleh, di luar parlimen boleh buat.


"Kalau macam dulu, PH cuba buat (hilangkan sokongan majoriti pada Perdana Menteri) di luar Parlimrn. (Kalau) vote of confidence (undi percaya) dalam Parlimen," ujarnya.


Ahli Parlimen PKR dari Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula berpendapat Agong mesti mematuhi peruntukan perlembagaan dan tidak mengikut "selera dan sentimen peribadi."


Kata beliau, Agong adalah tertakluk kepada sistem raja berperlembagaan, bukan raja mutlak.


“Agong tidak boleh tak layan jika benar-benar wujud keadaan di mana pihak pembangkang berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.


"Adalah sah dan legitimate (absah) jika kerajaan yang ada tetapi hilang legitimacy (keabsahan) maka pembangkang berusaha secara perlembagaan, mengikut undang-undang dan demokratik menggantikan kerajaan penyandang yang telah hilang sokongan.


"Agong kena ikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, bukannya ikut selera dan sentimen peribadi," kata Hassan.


Hassan berkata,  adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan untuk kerajaan yang telah kehilangan sokongan dan keabsahan untuk terus menjadi kerajaan sehingga tamat penggal pilihan raya.


“Perlembagaan Persekutuan tidak ada kata bahawa sesuatu kerajaan yang dibentuk selepas satu pilihanraya akan tetap kekal sehingga tamat tempoh lima tahun iaitu sehingga pilihan raya umum akan datang.


"Agong juga seperti ahli-ahli politik kena patuh dan hormati Perlembagaan Persekutuan. Perkara yang tidak ada di dalam perlembagaan tidak boleh diada-adakan sesuka hati. 


“Yang boleh meminda perlembagaan hanya satu badan sahaja iaitu Parlimen.


“(Dalam perkara) ini, Agong telah crossed the line (melangkau batas),” kata beliau.


Meskipun apa yang dinyatakan kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan adalah benar, tetapi tindakan mereka menyanggahnya secara terbuka turut memperlihatkan sikap tiada rasa hormat kepada Agong selaku ketua negara.


Apatah lagi Sultan Ibrahim baru kira-kira sebulan dilantik sebagai Agong.


Tidak bolehkah, sementara tiada apa-apa gerakan untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini, mereka tidak membuka mulut mempertikaikan titah Agong itu secara terbuka?


Lagi pun, yang mereka beria-ia bercakap daripada sudut perlembagaan menyanggah titah Agong itu, adakah blok pembangkang sudah mempunyai cukup jumlah Ahli-Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan?


Kalau bilangan pun tiada, apa tujuan sanggahan itu dilakukan?


Bukankah lebih manis mereka diam saja, setidak-tidaklah tunjuklah sikir rasa hormat kepada Agong yang seharusnya kita sanjung kedudukan baginda itu? - ShahbudinHusin 27/02/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/02/27/kenapa-titah-agong-tidak-dihormati.html



No comments: