Siasat segera Khairy terima dana politik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyiasat Menteri Kesihatan Datuk Seri Khairy Jamaluddin berikutan keterangan di mahkamah dalam kes perbicaraan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi sumbangan dana politik kepada beliau.
Bagi Ahli Parlimen Selayang, siasatan SPRM ke atas Kahiry seharusnya dibuat secara telus dan perkembangan siasatan mesti diumumkan kepada rakyat
Katanya, sekiranya siasatan tidak telus maka imej negara akan buruk kerana Khairy menerajui kementerian penting negara.
“Kes ini sudah diketahui di mahkamah dan kita gesa SPRM segera siasat Menteri itu (Khairy) kerana sumbangan dana politik (yang diterima) adalah besar.
“Bagi saya ada akta (pendanaan politik) atau tidak jika SPRM tidak lakukan siasatan tak guna juga. Tidak akan berlaku ketelusan dalam isu ini. Sumbangan ini diberikan kepada seorang menteri dan ia perlu beri penjelasan mengenai isu ini,” katanya.
Tegas William lagi, biar pun Malaysia tidak mempunyai undang undang pendanaan politik namun perlu dipastikan pemberian dana tersebut dibuat kepada individu atau parti.
Sekiranya kepada parti dana perlu masuk ke dalam akaun parti. Hal itu boleh dijelaskan melalui satu siasatan penuh.
“Saya lihat ada kontrak yang besar dan wang ini diberikan kepada individu berkenaan. Jadi siasatan perlu dilakukan untuk pastikan ia sumbangan peribadi atau tidak.
“Apa yang saya nak tegaskan, SPRM perlu siasat dengan segera dan ini adalah tugas dan tanggungjawab mereka.
“Rakyat tak tahu sumbangan itu politik atau tidak. Sebab itu SPRM perlu segera siasat,” tegasnya.
Dalam keterangan di mahkamah minggu lalu, bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ada menerima sumbangan daripada syarikatnya namun pemberian tersebut tidak diberikan secara terus.
Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, berkata sumbangan yang diberikan UKSB kepada Khairy antara RM50,000 dan RM200,000 adalah untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan.