JANGAN SUSAHKAN ISMAIL SABRI, TIADA RUANG UNTUK ZURAIDA KEKAL LAGI JADI MENTERI

 

Menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri pada minggu ini bagi membincangkan perletakan jawatannya sebagai menteri, Zuraida Kamaruddin dalam masa yang sama berharap kedudukannya akan kekal dalam kabinet.

Kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, ini bagi membolehkan beliau menyelesaikan pelbagai perancangan yang telah diatur oleh kementerian itu.

“Saya harap ada berita baik iaitu terus dikekalkan lagi kerana mudah untuk habiskan program dan perancangan yang telah diatur selain menstabilkan negara dan kabinet,” tambahnya.

Kedudukan Zuraida menjadi perbualan ramai berikutan tindakannya keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia pada 26 Mei lalu.

Beliau sendiri ketika mengumumkan keluar Bersatu turut memaklumkan kesediaan meletakkan jawatannya sebagai menteri, namun mahu berbincang terlebih dahulu dengan Ismail Sabri Yaakob.

Dalam hal ini, memandangkan Zuraida sendiri telah memperlihatkan kesediaan untuk meletak jawatan, cuma ingin membincangkannya terlebih dahulu dengan Perdana Menteri, kenyataan terbarunya yang berharap terus dikekalkan dalam kabinet adalah tindakan yang salah dan bercanggah.

Setelah keluar Bersatu dan dalam masa yang sama sedia untuk meletakkan jawatan, beliau tidak sepatutnya lagi berharap untuk terus dikekalkan sebagai menteri.

Harus disedarinya, perlantikan beliau sebelum ini adalah atas kouta Bersatu dan parti baru yang disertainya iaitu PBM tiada apa-apa peruntukan jawatan dalam kerajaan.

Soal parti baru itu mahu menyokong Ismail Sabri dan kerajaan adalah soal lain.

Jawatan dalam kabinet adalah atas perlantikan Perdana Menteri berdasarkan kouta kepada parti-parti tertentu dan perpindahan kepada parti baru tidak bermakna jawatan dalam kerajaan boleh dibawa sekali.

Kalau mahu terus lagi jadi menteri, kekal sajalah dalam Bersatu dan buat apa keluar parti?

Apabila keluar Bersatu, memang risikonya adalah hilang jawatan menteri dan hal itu sepatutnya disedari serta difahami oleh Zuraida.

Lebih daripada itu, kenyataannya yang masih berharap terus dikekalkan dalam kabinet juga ternampak hanya bertujuan menyusahkan Perdana Menteri.

Bukankah lebih menyenangkan Ismail Sabri jika dalam pertemuan nanti beliau terus saja menyerahkan surat perletakan jawatannya?

Dengan menyerahkan surat perletakan jawatan, selain Ismail Sabri mudah untuk mengisi penggantinya daripada Bersatu, ia juga lebih memudahkan Perdana Menteri mempertimbangkan untuk memberi jawatan lain kepadanya.

Tetapi dengan mengumumkan keluar Bersatu, diikuti kenyataan sedia meletakkan jawatan dan kemudian berharap jawatan dalam kabinet dikekalkan lagi, Ismail Sabri pun jadi pening kepala memikirkan apa sebenarnya yang dimahukan oleh Ahli Parlimen Ampang itu. – ShahbudinHusin 20/06/2022.


No comments: