DEBAT ANWAR-NAJIB BATAL PADA SAAT- SAAT AKHIR?


 Selepas Universiti Malaya tidak membenarkan Dewan Tunku Canselor digunakan sebagai tempat untuk program debat antara Anwar Ibrahim dengan Najib Razak, majlis itu kini secara rasminya akan diadakan di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan media bersama semalam, kedua-dua pihak setuju ia diadakan di Matic, dengan tarikh serta waktunya kekal pada 12 Mei, jalam 9.00 malam.

Debat selama dua jam itu dijangka akan berlangsung dalam tiga sesi.

Bahagian pertama berhubung permasalahan yang dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd dan sama ada ia perlu diselamatkan melalui bantuan kerajaan atau sebaliknya.

Bahagian kedua pula akan berkisar tentang ‘Masa Depan Malaysia’ yang merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Bahagian ketiga dikhususkan untuk sesi soal jawab.

Debat berkenaan akan disiarkan secara langsung oleh saluran rasmi melalui media rasmi dan juga media sosial yang akan diumumkan kemudian.

Sementara ada pihak dilihat begitu teruja dan tertunggu-tunggu debat tersebut, banyak pihak lain pula tetap ragu-ragu majlis itu akan menjadi kenyataan akhirnya.

Pelbagai pihak yang saya sempat berbual-bual dengan mereka tidak menyembunyikan kesangsian mereka itu.

Saya sendiri, jauh di sudut hati, tidak terkecuali menjangkakan, debat itu akan dibatalkan pada saat-saar akhirnya nanti.

Dalam hal ini, saya meramalkan beberapa sebab akan dimunculkan sebagai sandaran untuk membatalkannya.

Pertama, permit polis untuk mengadakannya mungkin tidak diberikan atas sebab-sebab keselamatan dan tiada keperluan.

Kedua, Sapura Energy atau pihak tertentu dipercayai akan muncul pada saat-saat akhir dengan tidak membenarkan isu berkaitan syarikat berkaitan kerajaan itu didebatkan melalui forum terbuka.

Mereka dipercayai akan mengambil tindakan saman pemula di mahkamah bagi menghalang debat itu daripada dilangsungkan.

Lagi pula, sama ada kerajaan perlu membantu atau tidak Sapura Energy adalah merupakan keputusan kerajaan dan tidak berkaitan dengan kedua-dua pendebat, Anwar dan Najib yang mana mereka tidak pun berada dalam kerajaan ketika ini.

Ketiga, ini saya pinjam daripada ramalan seorang bekas Ahli Parlimen daripada Melaka yang menyatakan, Najib dijangka akan positif Covid19 selepas meraikan sambutan ulangtahun UMNO pada 11 Mei, lalu terpaksa dikuarantin di rumah sendiri untuk beberapa hari.

Akhirnya, debat itu pun tidak menjadi kenyataan, tambah bekas Ahli Parlimen itu lagi.

Meski ada keraguan, tapi jika debat itu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan pada 12 Mei nanti – apa lagi – syukur Alhamdulillah sajalah.

Setidak-tidaknya kerana hilang kuasa sebagai Perdana Menteri pada 2018 lalu, Najib kini diberi satu keberanian baru oleh Tuhan.

Kalau tidak, sampai bila pun Najib akan sentiasa tidak berani untuk berdebat dengan sesiapa. – ShahbudinHusin 07/05/2022.



No comments: