Sektor industri lama langgar SOP, lockdown Februari ini untuk apa?
Tindakan kerajaan darurat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan mungkin melakukan lockdown ketat menutup ekonomi seperti yang tersebar dalam surat EUMalaysia Chamber of Commerce and Industry (EUROCHAM) kepada para anggotanya dipertikaikan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan langkah yang dicadangkan dibuat pada 4 Februari ini sebagai pelik kerana sektor industri sebelum ini tidak dikenakan sebarang tindakan tegas biarpun kerajaan telah maklum banyak pelanggaran SOP berlaku.
“Surat itu merujuk satu mesyuarat bertarikh 22 Januari 2021 yang menjelaskan kepada wakil-wakil industri bahawa Kementerian Kesihatan telah mengenalpasti sektor pembuatan sebagai punca utama penularan wabak Covid-19 di negara ini.
“Maklumat semacam ini menimbulkan beberapa persoalan terkait langkah kerajaan dalam mengemudi negara saat pandemik hari ini.
“Sekiranya kerajaan mengakui majoriti jangkitan Covid-19 berlaku di kalangan pekerja-pekerja asing dan di asrama-asrama mereka, maka atas alasan apa kerajaan merasakan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini akan berjaya mengurangkan penyebaran Covid-19 di sektor tersebut?
“Tindakan kerajaan untuk tidak menutup sektor yang mempunyai kadar jangkitan tertinggi hanya akan melanjutkan tempoh PKP, sambil mengesankan jutaan warga yang lain yang sedang memainkan peranan masing-masing dalam membendung penularan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mengingatkan, negara telah memasuki bulan kedua belas sejak permulaan pandemik dan 312 hari sejak diumumkan PKP 1.0 di Malaysia.
Katanya, kadar penularan yang tinggi dalam kalangan pekerja asing telah dikenalpasti sekurang-kurangnya empat bulan lalu. Terdapat banyak laporan yang menyatakan berlakunya pelanggaran SOP di asrama-asrama pekerja asing. Mengapa syarikat dan kilang-kilang masih dibenarkan beroperasi tanpa dikenakan hukuman?
“Kerajaan mempunyai masa cukup untuk pantau dan kuatkuasakan SOP, tapi itu tidak berlaku. Negera jiran Singapura telah melaksanakan ujian besar-besaran di kalangan pekerja asing di sana, manakala Malaysia masih acuh tak acuh dalam melaksanakannya. Padahal ia langkah yang paling penting dan boleh dilaksanakan.
“Surat EUROCHAM itu termasuk syor-syor oleh MITI pada sektor pembuatan. Cadangan-cadangan ini sepatutnya telah dilaksanakan beberapa bulan yang lalu. Sekarang masa untuk penguatkuasaan yang tegas, bukan memberi muka pada sektor-sektor ini.
“Surat itu juga mengesahkan apa yang dirasakan oleh ramai rakyat seperti yang dipanjangkan kepada saya bahawa langkah dan tindakan kerajaan dalam menangani Covid-19 cukup lemah dan ketinggalan,” katanya.
Selain itu, Anwar juga mempertikaikan kenyataan Kementerian Kewangan yang mengelirukan kononnya langkah PKP sekarang ini tidak membawa dampak besar ke atas ekonomi kita kerana banyak sektor masih dibenarkan beroperasi termasuk sektor pembinaan dan pembuatan.
Katanya, sekiranya penutupan penuh dijangka akan dilakukan pada 4 Februari, dan alasan untuk melaksanakannya telah diketahui seawal 22 Januari, maka kenyataan Menteri Kewangan tersebut ternyata bohong dan mengelirukan.
“Keyakinan para pelabur bercambah dari kebijakan yang konsisten dan penegakan hukum yang jelas. Cara dan sikap kerajaan dalam mengawal situasi kemelut hari ini, terutamanya sejak Pilihanraya Negeri Sabah semakin mengarut dan cacamarba.
“Rakyat Malaysia adalah rakyat yang tinggi tahap kesabarannya dan sanggup untuk mengambil jalan susah bersama demi semua dan juga masa depan. Tetapi mereka tidak mudah diperbodohkan. Mereka juga dapat merasakan kerajaan ini sudah tidak dapat mengawal keadaan dan situasi kemelut hari ini.
“Menyatakan bagi pihak ribuan peniaga yang telah menzahirkan rasa kecewa mereka kepada saya beberapa bulan yang lalu, saya timbulkan persoalan bagaimana sebuah kabinet yang mempunyai anggota paling ramai dalam sejarah dan beroperasi dalam darurat tidak mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab paling asas bagi membendung wabak ini? Apa yang menghalang mereka sebenarnya?” tanya Anwar.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga berkata, sekiranya PKP yang lebih tegas diumumkan tanpa dukungan kewangan yang munasabah kepada para peniaga dan keluarga yang memerlukan, maka banyak syarikat akan gulung tikar.
“Tanpa rencana yang jelas dalam mengekang wabak rakyat akan bersendirian sehinggalah vaksin tiba. Khabarnya kita harus menunggu lagi 15 bulan dari sekarang untuk menerimanya.
“Kita harus juga mengakui bahawa sebelum zaman pandemik ini, syarikat-syarikat ini telah membayar cukai secara konsisten kepada kerajaan sebanyak RM70 bilion setahun.
“Tahun lalu kerajaan PN cuba mengelak dan melambatkan sidang Parlimen berkali-kali sebagai rencana mereka untuk mengelak cubaan untuk mencabar majoriti mereka yang sebenarnya tidak wujud. Kerana itu, rakyat Malaysia menderita dalam bentuk kelewatan pakej rangsangan ekonomi.
“Tahun ini kerajaan PN berhasrat untuk mengelak sidang Parlimen lagi sekali, menyorok di belakang Pengisytiharan Darurat. Kesannya nanti pasti akan memanjangkan penderitaan rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Anwar mendesak untuk diadakan Sidang Khas Parlimen, dengan persetujuan Agong, bagi membincangkan pelbagai isu dan memungkinkan kebijakan yang munasabah, rasional dan mendahulukan kepentingan rakyat Malaysia.