Tindakan PM nasihat Agong bertentangan undang-undang, Anwar fail semakan kehakiman

 

Fareez Azman
Tindakan PM nasihat Agong bertentangan undang-undang, Anwar fail semakan kehakiman
Peguam Ramkarpal Singh memaklumkan bahawa permohonan bagi memulakan semakan kehakiman berhubung deklarasi Darurat telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan semakan kehakiman berhubung deklarasi darurat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut peguam Presiden PKR itu, Ram Karpal Singh, tindakan itu dibuat Anwar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengantung Parlimen dalam tempoh darurat adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
"Permohonan tersebut difailkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemohon (selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat) melalui Tetuan Karpal Singh & Co. Responden-responden yang dinamakan adalah Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia.
"Perlu ditekankan di sini bahawa apa yang dicabar dalam permohonan tersebut bukannya pengisytiharan darurat, tetapi keputusan Perdana Menteri (melalui Jemaah Menteri) untuk menasihati KDYMM SPB Yang di Pertuan Agong untuk meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut.
Nasihat Perdana Menteri tersebut adalah dikatakan bertentangan undang-undang," kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Ram berharap satu tarikh pendengaran permohonan tersebut dapat ditetapkan secepat mungkin.
Berikutan pengisytiharan perintah daruat sehingga 1 Ogos 2021, Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri, pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil digantung.
Ordinan Darurat yang telah diwartakan pada 14 Januari lalu memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mentadbir negara sepanjang tempoh darurat.