Menggantung Parlimen tak bantu selesaikan masalah ekonomi negara – Guan Eng

 

Oleh Aziera NH

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penggantungan Parlimen oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membantu rakyat Malaysia yang menghadapi masalah dalam krisis Covid-19 ini.

Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan menegaskan, Parlimen harus dibenarkan bersidang dan meneruskan fungsinya untuk mengetengahkan dan membantu dalam mencari penyelesaian masalah yang dihadapi oleh rakyat ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Daripada menggantung Parlimen, kerajaan PN sepatutnya menyatukan rakyat untuk memerangi COVID-19 bersama-sama.

“Menggantung Parlimen tidak membantu negara menangani empat krisis berganda iaitu krisis kesihatan awam, ekonomi, ketidakstabilan politik, pendidikan dan keadilan sosial,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berpendapat, kerajaan patut menggunakan segala sumber yang ada untuk membantu para pekerja barisan hadapan dengan tenaga kerja dan peralatan serta membantu untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat.

Beliau juga menggesa kerajaan untuk mengembalikan pelaksanaan menyeluruh saringan, pengesanan dan rawatan (3T) terhadap semua kontak rapat pesakit Covid-19 seperti sebelum ini.

Malangnya, beliau berkata, terdapat amalan dua darjat kerana penggubal prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 adalah mereka yang melanggarnya.

“Kegagalan untuk melaksanakan pelanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik (kecuali kumpulan Top 20), kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembelajaran atas talian sehingga krisis Covid-19 tamat juga adalah kegagalan pengurusan krisis,” katanya.

Yang lebih membimbangkan, tambahnya, adalah harga barang keperluan terutama makanan dan minuman, juga meningkat bukan hanya bulan-ke-bulan (MOM) sebanyak 0.5 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding dengan November 2020 tetapi juga tahun-ke-tahun (YOY) sebanyak 1.4 peratus pada tahun 2020 berbanding tahun 2019.

Dengan kata lain, jelasnya, rakyat Malaysia membayar lebih tinggi berbanding tahun lepas atau bulan lalu.

“Ini akan menyebabkan penderitaan yang lebih besar kepada rakyat Malaysia yang menghadapi pengurangan pendapatan atau kehilangan pendapatan semasa kemelesetan ekonomi ini namun perlu membayar harga yang lebih tinggi,” ujaarnya.



No comments: