Daripada apa yang disebut Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya petang tadi, jelas ternampak beliau masih tidak puas hati kerana cadangan darurat yang diusulkan kerajaan tidak dapat dilaksanakan.
Dalam erti kata lain, Muhyiddin seolah-olah berasa kecewa dengan keputusan Yang Dipertuan Agong menolak cadangan darurat yang dicadangkannya.
Menurut Perdana Menteri, beliau bimbang, PRK Batu Sapi tidak lama lagi dan PRN Sarawak selepas itu akan memburukkan lagi krisis Covid19 di negara ini.
Ini berikutan, tegas beliau, Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak menetapkan pilihanraya mesti diadakan sekiranya ada kekosongan kerusi atau jika DUN dibubarkan.
“Saya sebutkan begini kerana ini bukan perkara main-main. Ini perkara serius. Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihanraya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.
“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan, maka kita terpaksa mengadakan pilihanraya.
“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihanraya itu sehingga Covid19 berakhir,” demikian antara yang disebut Muhyiddin dalam perutusan khasnya.
Maknanya apa tuan-tuan?
Maknanya sangat jelas – sama ada orang kampung, orang bandar, orang politik, orang bangsawan atau orang istana sekali pun, semuanya faham bahawa Muhyiddin begitu mahukan darurat diisytihatkan dan ternampak kecewa apabila cadangannya ditolak Agong.
Adakah luahan secara terbuka Muhyiddin ini termasuk dalam ciri-ciri derhaka kepada titah Raja?
Sebetulnya, tidak wajar sama sekali untuk Muhyiddin mengaitkan darurat dengan PRK Batu Sapi, PRN Sarawak dan hubungannya dengan kesukaran kerajaan mengawal wabak Covid19.
Sudah jelas bahawa BN dan PBS sudah mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK Batu Sapi, antara sebabnya tentulah kerana keprihatinan kedua-.dua parti itu terhadap ancaman Covid19.
Dengan dua parti utama itu tidak bertanding, logiknya tentulah Warisan yang memenangi kerusi tersebut pada PRU 2018, akan beroleh kemenangan percuma.
Apabila menang percuma, maknanya tiada pilihanraya, tiada kempen, tiada pengundian dan tidak perlu orangramai berkumpul atau bersesak-sesak.
Dengan demikian, tidak berbangkit sama sekali sebarang kebimbangan bahawa PRK Batu Sapi akan menularkan wabak Covid19.
Tetapi, mengapa Muhyiddin masih bimbang PRK Batu Sapi menularkan semula Covid19?
Apakah ini bermaksud bahawa Perikatan Nasinal atau PN yang mana Bersatu sebagai komponen utamanya yang sebenarnya mahu meletakkan calon menentang Warisan dalam PRK Batu Sapi?
Demi keprihatinan kepada Covid19, tidak bolehkah PN berkorban seperti BN dan PBS untuk sama-sama tidak meletakkan calon di Batu Sapi?
Kalau semua parti tidak meletakkan calon dan Warisan beroleh kemenangan percuma tanpa pilihanraya, di mana perlunya lagi untuk mengaitkan darurat dan krisis Covid19 dengan PRK Batu Sapi?
Bukankah Agong juga menasihatkan agar dihentikan politiking?
Begitu juga dengan PRN Sarawak, turut tidak masuk akal kenapa Muhyiddin begitu bimbangkan ancaman Covid19 sedangkan tempoh tamat DUN negeri itu ialah September 2021?
Dengan vaksin Covid19 bakal ada di pasaran seawal tahun depan dan jika pencegahan serta pematuhan SOP sentiasa diperkemaskan mulai sekarang, selain September 2021 masih agak lama lagi, kenapa Muhyiddin masih cuba mengaitkan darurat dengan PRN Sarawak?
Apakah beliau benar-benar mahu memanjangkan rasa tak puas hatinya dengan pembatalan darurat itu?
Ehhh….kalau begitu, mengapa tak disebut saja darurat yang dicadangkannya itu tujuan utamanya ialah untuk menggantung Parlimen supaya tiada pengundian Belanjawan 2021 dan PRU15 dapat sekali ditangguhkan, sekaligus membolehkan beliau lebih lama duduk di puncak kuasa?
Kenapa pula nak dikenen-kenen dengan PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak yang jauh sekali kaitannya? (Shahbudindotcom 31/10/2020)