1. Serangan umum keatas umat Islam oleh Presiden Perancis, Emannuel Macron selepas pembunuhan seorang guru warga Perancis di Paris menerima kecaman seluruh umat Islam.
2. Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh seorang individu muslim berusia 18 tahun terhadap seorang guru yang menunjukkan lukisan provokasi memaparkan kartun Nabi Muhammad saw di sekolah patut dikecam sekeras kerasnya. Walaubagaimana pun, tindakan individu terbabit tidak boleh dianggap sebagai sikap keseluruhan umat Islam.
3. Umat Islam tidak pernah menganggap pembunuhan 51 orang islam di Masjid Christchurch, New Zealand sebagai sikap dan pendirian seluruh penganut Kristian.
4. Sebagai kononnya seorang liberal pro kebebasan, Presiden Macron menunjukan sikap ekstrim secara terpilih dengan menyatakan sebelum insiden pembunuhan itu sebagai Islam menghadapi krisis secara global.
5. Sebenarnya kebebasan bersuara secara mutlak tidak wujud pun di Perancis kerana sesiapa yang menyoal kesahihan holocaust – pembunuhan Yahudi beramai ramai, boleh di dakwa dimahkamah Perancis.
6. Jadi, mengapakah penghinaan berterusan terhadap Nabi Muhammad saw yang merupakan individu terpenting kepada umat islam dibenarkan tanpa apa apa tindakan oleh pihak berkuasa Perancis?
7. Hal ini jelas menujukkan sikap dwi standard yang ketara terhadap umat Islam berbanding dengan Yahudi di Perancis.
8. Presiden Macron sebenarnya bermain politik agama dan kaum haluan kanan untuk pilihanraya Perancis. Ini sama juga dengan cara politik agama dan perkauman Presiden Trump menjelang pilihanraya Amerika. Umat Islam di Perancis dan Eropah hari ini semakin tertindas oleh Islamophobia yang terus di bakar oleh ahli politik demi mendapatkan sokongan.
9. Sebelum ahli politik kerajaan PN hari ini menyerang Presiden Perancis dan Amerika, cerminlah diri sendiri kalau mereka tidak melakukan perkara yang sama di Malaysia. Politik perkauman dan agama sering dimainkan di Malaysia tanpa tindakan sepatutnya oleh pihak berkuasa.
10. Baru baru ini sebelum PRN Sabah, seorang Timbalan Menteri dari PAS telah mengeluarkan kenyataan menyerang agama Kristian secara lantang dan terbuka. Ini jelas bertentangan dengan ajaran Rasullullah saw supaya kita tidak menghina agama lain supaya pihak berkenaan tidak menghina agama kita pula. Apa apa perbezaan pendapat bolehlah dimurnikan melalui proses dialog berilmu secara teratur.
11. Amalkanlah cara dakwah mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w untuk menarik orang bukan islam kepada agama Islam, bukannya dengan bertindak untuk menambah musuh terhadap Islam.
12. Kecaman dan tuduhan liar seperti khafir harbi dan munafik haraki dan sebagai nya telah lama bermain di bibir “pejuang” parti berkenaan tanpa tindakan oleh pihak berkuasa. Adalah hipokrit untuk mereka terus mengecam pihak lain mengguna agama dan kaum apabila mereka sendiri mengamalkan yang sama untuk mengejar dan mengekalkan kuasa politik.
13. Sikap tercela dan terkutuk menggunakan agama dan kaum bukan hanya dimainkan oleh pemimpin politik Barat tetapi ianya sudah lama diamalkan dalam politik di Malaysia.
14. Sebelum pemimpin PAS dan UMNO mengecam sikap serta cara politik Macron dan Trump, hendaklah mereka berdiri di hadapan cermin yang besar untuk muhasabah diri. Adakah cara mereka berpolitik memecah belahkan itu adalah mengikut ajaran serta sunnah Rasullulah saw atau adakah mengikut nafsu semata mata asal dapat berkuasa?
15. Ada baiknya jika Menteri Agama sekarang, seorang Senator dan bekas mufti yang tidak datang dari mana mana parti, menasihati pihak berkenaan tentang bahaya dan buruknya politik mengguna agama dan kaum.
16. Kita perlu akui politik kebencian keagamaan dan perkauman yang kita kecam apabila berlaku di negara barat, sebenarnya telah pun lama berakar umbi di Malaysia.
17. Jangan menuding jari pada pihak lain tentang apa yang telah lama turut berlaku dalam negara kita, bukan sahaja terhadap bukan Islam tetapi juga sesama Islam.
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.
1 November 2020.