Pertikaian
tanah antara pekebun durian Musang King dan Kerajaan Negeri Pahang tidak wajar
dipanjangkan sehingga menjejaskan sektor peladangan durian.
Bagi
pemimpin KEADILAN, sektor perladangan durian yang telah menghasilkan gred
premium Musang King dan mendapat sambutan luar biasa di negara China tidak
wajar diganggu gugat dengan kemelut pemilikan tanah seperti yang berlaku hari
ini.
Kemelut,
kata mereka, hanya akan merosakkan pasaran dan menjejaskan industri durian
negara pada jangka masa panjang.
"Demi
memajukan industri durian maka sebarang permasalahan antara pihak kerajaan
negeri, petani dan pihak korporat harus diselesaikan secara adil dan harmoni
tanpa sebarang penindasan demi kestabilan industri yang baru sahaja berkembang
maju.
"Kami
juga menolak persepsi sesetengah pihak bahawa ini adalah isu perkauman. Kami
dapati pekebun-pekebun yang terlibat terdiri daripada pelbagai bangsa. Ada
pekebun Melayu yang terlibat. Maka, isu ini tidak harus dilihat dengan kanca
mata perkauman, ia seharusnya dilihat sebagai isu kemanusiaan dan masalah
petani.
"Masalah
tanah yang dihadapi oleh pekebun Durian di Raub bukan unik. Ia juga dihadapi
oleh petani pelbagai tanaman termasuk kelapa sawit, padi, sayur-sayuran,
ternakan ayam, lembu dan sebagainya di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Malah di merata dunia, petani juga hadapi masalah yang sama.
"Maka
KEADILAN menyeru Kerajaan Negeri Pahang mengambil sikap terbuka dan berperi
kemanusiaan menangani masalah antara pekebun dengan syarikat besar dalam
operasi pemutihan tanah. Kerajaan negeri harus ingat No
Farmers, No Food," kata mereka kenyataan bersama yang dikeluarkan
oleh Pengerusi MPN KEADILAN Pahang Fuziah Salleh, Pengerusi Biro Pertanian
KEADILAN Pusat Sim Tze Tzin dan ADUN Teruntum Sim Choon Siang.
Menurut
mereka, Kerajaan Negeri harus mengambil langkah proaktif menjadi pemudahcara
antara pihak pekebun kecil dan syarikat supaya mencapai situasi menang-menang.
Manakala
untuk para pekebun, pemimpin KEADILAN merakamkan rasa simpati terhadap masalah
yang dihadapi. Walau bagaimanapun, mereka menyeru supaya pekebun bekerjasama
dengan pihak kerajaan untuk mencapai situasi menang-menang.
"Kami
telah mencadangkan penubuhan koperasi pekebun-pekebun durian yang boleh
dinamakan Koperasi Durian Pahang dan terbuka kepada pekebun pelbagai bangsa dan
agama.
"Mereka
boleh mengambil model Sunkist Growers Cooperative dari Amerika Syarikat atau
Dutch Lady Cooperative dari Belanda. Di mana petani-petani kecil dan petani
keluarga (family owned farms) bergabung meningkatkan mutu bagi menembusi
pasaran dunia.
"Kami
rasa syukur cadangan itu diterima secara positif oleh AJK SAMKA yang hadir
bersama dengan semalam, termasuk pengerusinya En Chang.
"Tiba
masanya pekebun kecil durian ini bergabung tenaga dan meningkatkan mutu,
kualiti demi meningkatkan persaingan durian kita di pasaran antarabangsa,"
kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan
itu, KEADILAN menyeru semua pihak bertindak secara tenang, rasional serta
membuka pintu perbincangan demi menyelesaikan masalah yang berbangkit.