Walaupun Malaysia sudah
mengecapi kemerdekaan selama 63 tahun, golongan wanita masih belum 'merdeka'
dalam beberapa perkara.
Pengerusi Biro Guaman dan
Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq berkata segelintir
golongan wanita masih lagi menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
"Kemerdekaan ini
dipertahankan agar wanita dan anak-anak kita tidak lagi dihujani dengan butir
peluru dan dipukul oleh tentera asing.
"Namun demikian, pasca
enam dekad menyaksikan isu keganasan rumah tangga masih lagi membejat dalam
komuniti. Tidak diganasi oleh tentera, tetapi dipukul oleh suami sendiri.
"Laporan terkini pada 30
Ogos lalu dan tular di laman sosial menyaksikan seorang wanita telah dipukul
dan dikasari oleh suaminya.
"Suspek yang juga
merupakan seorang penganggur telah menyebabkan mangsa hampir jatuh dari kereta
dan masih terus memandu di atas jalan raya ketika kejadian," katanya dalam
kenyataan.
Fadhlina berpandangan isu
keganasan rumah tangga masih berlaku kerana ia berkait rapat dengan isu
pengangguran dan ekonomi keluarga.
"Statistik tahun 2019
menunjukkan punca utama keganasan rumah tangga adalah atas faktor individu dan
faktor persekitaran.
"Melihat kepada punca
tersebut, dapat difahami mengapa boleh berlaku peningkatan kes keganasan rumah
tangga sewaktu pandemik adalah kerana masalah kewangan serta ketidaktentuan
masa depan menimbulkan konflik yang ketara.
"Walaupun kes ini telah
dalam tindakan pihak berkuasa, usaha berterusan dalam membendung isu keganasan
rumah tangga dan pemulihan ekonomi pasca pandemik harus digiatkan.
"Peningkatan kes berikutan
penurunan kualiti hidup dan keresahan ekonomi ini wajar diberikan perhatian
serius," katanya.
Justeru, Fadhlina menggesa
kerajaan mengkaji semula undang-undang sedia ada sama ada benar-benar memberi
perlindungan yang sewajarnya.
Beliau juga menyeru badan bukan
kerajaan (NGO) dan gerakan komuniti masyarakat bertindak sebagai petugas
barisan hadapan dalam membendung isu keganasan rumah tangga.
"Misi memperkasakan
komuniti dan badan bukan kerajaan sebagai kumpulan barisan hadapan dalam
menangani isu keganasan rumah tangga perlu disegerakan.
"Kerajaan juga digesa agar
mempercepatkan Rang Undang-undang Akta pekerja sosial serta melakukan semakan
terhadap Akta Keganasan Rumahtangga khususnya berkaitan perlindungan dan
pembelaan untuk mangsa.
"Usah kita lalai dalam
usaha mempertahankan kemerdekaan ini. Jangan sampai wanita kita merdeka sebagai
warganegara tetapi tidak sebagai warga-rumah sendiri," katanya.