Surat Terbuka
Kepada:
YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat
4 Jun 2020
Assalamualaikum YB Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Surat ini saya tulis atas rasa tanggungjawab saya sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat. Saya mahu melihat ini parti keramat ini terus kuat dalam memperjuangkan agenda reformasi sehinggalah semua perkara yang sepatutnya menjadi hak rakyat tertunai.
Saya merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia yang jiwa politiknya terbina hasil daripada ledakan reformasi 1999. Peristiwa kezaliman yang menimpa Datuk Seri menjadi batu asas untuk kami berpijak dalam dunia politik. Membina nekad yang menyebabkan kami faham betapa negara ini sedang bermasalah.
Setiap gerak langkah, ceramah, tulisan dan apa sahaja yang berkaitan Datuk Seri kami ikuti dari jauh dengan setia tanpa Datuk Seri tahu dan sedar.
Kami menjadi laskar tanpa upah yang mempertahankan segala persenda dan fitnah yang dilemparkan terhadap Datuk Seri. Kerana itu, ramai antara kami yang tercedera jiwanya akibat terpaksa mengambil sikap berbeza dengan teman-teman malah keluarga sendiri hanya kerana mempertahankan Datuk Seri.
Dalam keadaan Datuk Seri sedang berhadapan ujian atas pengkhianatan dan tikaman daripada belakang, kami terus setia tanpa gaji, jawatan, pangkat dan habuan.
Namun Datuk Seri, kami sedikit terkilan melihat situasi semasa parti keramat rakyat ini. Parti ini telah dikhianati oleh gerombolan Azmin Ali yang bukan sahaja khianat terhadap parti, tetapi mereka telah memusnahkan aspirasi rakyat.
Kecurangan mereka dalam parti sudah terlalu lama berlaku. Gerak geri mereka lebih banyak menyukarkan daripada mempermudahkan. Isu pemilihan Menteri Besar Selangor pasca Kajang Move, pemilihan calon untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016, penubuhan Pakatan Harapan, isu kerjasama dengan PAS di Selangor sehinggalah isu peralihan kuasa Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum ke 14, semuanya berselirat akibat tangan-tangan pengkhianat ini.
Semasa pemenjaraan Datuk Seri, mereka sering menunggang pesan Datuk Seri dari sebalik tembok penjara untuk menyukarkan tugas Presiden yang sewaktu itu dipikul oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mereka menggunakan nota-nota Datuk Seri untuk menghalalkan senggama terlarang mereka dengan PAS di Selangor. Mereka menggunakan nama Datuk Seri dalam usaha mereka menghalang penubuhan Pakatan Harapan.
Mereka mengangkat sepanduk pejuang setia. Rupa-rupanya mereka sekadar ular membelit yang meninggalkan bisa. Biarpun kepala-kepala ular telah tertendang keluar daripada parti ini, namun ekor-ekornya masih ada.
Sikap lunak Datuk Seri terhadap pengkhianat-pengkhianat ini menyebabkan parti kita menerima tempelak daripada rakan-rakan tahaluf yang lain.
Parti kita selama ini dituduh tidak berani bertindak terhadap Azmin Ali walaupun manusia itu secara terang-terangan membelakangkan parti.
Semua orang sudah nampak dengan jelas yang Azmin Ali dan gerombolannya merupakan liabiliti, tetapi Datuk Seri memujuk agar Angkatan Muda Keadilan menerima pengkhianat itu sebagai Perasmi Kongres Nasional Tahunan AMK 2019.
Akhirnya ijtihad Ketua Angkatan Muda Keadilan yang tidak mahu menjemput Azmin Ali sebagai perasmi ternyata benar. Beliau itu adalah pengkhianat.
Kini saki baki pengkhianat masih mendiam dengan selesa dalam parti khususnya di Selangor. Ada dalam kalangan mereka masih memegang jawatan penting dalam Kerajaan Negeri dan agensi-agensinya.
Cuma lagak bahasa mereka sedikit berubah. Daripada mendewakan Azmin Ali kepada mentaati Presiden Parti. Saya percaya perubahan ini bukan kerana Datuk Seri, tetapi kerana gaji dan keselesaan yang sedang mereka nikmati.
Janganlah kerana mereka hadir menghadap Datuk Seri sehari, maka seluruh anggota parti perlu melupakan pengkhianatan mereka selama bertahun-tahun. Sikap jiwa besar Datuk Seri terhadap mereka perlu ada limitasinya dan limitasi itu sudah lama diinjak mereka.
Parti Keadilan Rakyat sewajarnya mengambil peluang atas musibah pengkhianatan ini untuk memberi mesej jelas kepada seluruh anggota parti. Mereka yang khianat, yang bersekongkol dengan pengkhianat, yang senada dengan pengkhianat dan yang bersimpati terhadap pengkhianat, perlu ditunjukkan jalan keluar daripada parti.
Perkara ini selaras dengan kuasa Majlis Pimpinan Pusat Keadilan yang diperuntukkan dalam Perkara 41.7 Perlembagaan Parti.
Tetapi mesej yang berlegar dalam kalangan anggota adalah berbeza. Pengkhianat masih boleh selamat dalam parti malah masih boleh menikmati segala keistimewaan. Boleh kekal jadi Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri.
Bagaimanakah Datuk Seri akan dapat membina Keadilan sebagai sebuah parti yang berdiri atas dasar prinsip jika manusia-manusia oportunis ini masih berkeliaran bebas dalam parti.
Mereka ini mahir bermuka-muka untuk meraih kemaafan daripada Datuk Seri. Hanya ada satu cara untuk Datuk Seri menguji kesetiaan mereka iaitu lucutkan mereka daripada sebarang jawatan dan kemewahan yang sedang mereka nikmati.
Jika mereka benar-benar berada dalam parti kerana prinsip dan idealisme, maka mereka akan kekal menyokong dan taat kepada parti.
Dengan penuh hormat saya memohon kepada Datuk Seri, bertindak tegaslah kepada saki baki pengkhianat yang masih berada dalam parti. Jangan buka ruang untuk parti ini dikhianati lagi.
Sekian.
Yang Benar
________________
Syukri Razab
Anggota Parti Keadilan Rakyat
B16000099xx