WALAU TIADA SIDANG MEDIA JUMLAH UNTUK JATUHKAN KERAJAAN SUDAH TERSEDIA


Semalam, sebagaimana yang dihebohkan sejak tengahari lagi, dua orang anggota pentadbiran kerajaan PN iaitu seorang menteri dan timbalan menteri dilapor akan mengadakan sidang akhbar berhubung perletakan jawatan mereka.
Dua pemimpin yang dikaitkan itu adalah Menteri Tugas-Tugas Khas, Mohd Redzuan Md Yusof dan Timbalan Menteri Kerjaraya, Dr. Shahruddin Salleh.
Kedua-duanya adalah Ahli MPT Bersatu dengan Mohd Redzuan merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah, Melaka sementara Dr. Shahruddin adalah Ahli Parlimen Seri Gading di Johor.
Mereka dikatakan akan meletakkan jawatan kerana ingin menunjukkan sokongan kepada Tun Mahathir Mohamad yang sedang berdepan krisis dengan Muhyiddin Yassin dalam Bersatu serta untuk membantu mengembalikan tampuk kuasa kerajaan kepada PH melalui usul undi tidak percaya yang sedang diusahakan bekas Perdana Menteri itu.
Dilaporkan juga, selepas pengumuman mereka itu, tiga lagi menteri dan timbalan menteri akan menyusul dengan pendirian yang sama.
Lalu, dengan itu PN diberitakan akan segera tumbang dan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri juga bakal berakhir.
Bagaimanapun, sehingga lewat petang semalam didapati sidang akhbar berkenaan tidak menjadi kenyataan dan diikuti kemudiannya Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas turut memakluman tiada sidang media melibatkan Mohd Redzuan sebagaimana yang diheboh-hebohkan.
Dengan yang demikian, selain ramai penyokong Muhyiddin bersorak kelegaan seolah-olah PN dan Perdana Menteri tidak jadi tumbang, terdapat juga yang mengandaikan kedua-dua pemimpin Bersatu itu telah berjaya dipujuk lalu membuat Pusingan U akhirnya.
Benarkah begitu?
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, tiada Pusingan U dibuat dalam hal ini kerana memang sejak awal tiada rancangan untuk kedua-dua mereka mengadakan sidang akhbar.
Apa yang difahamkan berlaku semalam ialah hanya Mohd Redzuan dan Dr. Shahruddin mahu bertemu dengan Tun Mahathir untuk menyatakan pendirian mereka.
Tidak diketahui siapakah yang menghebohkan laporan kononnya kedua-dua mereka akan mengadakan sidang media itu.
Mohd Redzuan atau Pak Wan telah berjumpa dengan Tun Mahathir pada sebelah pagi, manakala Dr. Shahruddin mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir pada sebelah petang di pejabat Bersatu.
Tidak dipastikan apa hasil pertemuan itu, namun dimaklumkan, baik Tun Mahathir atau Pak Wan dan Dr. Shahruddin, semuanya dilihat gembira dan berwajah ceria selepas bertemu itu.
Dalam pada itu, walaupun tiada sidang media diadakan semalam, tetapi tidak ada pula kenyataan penafian daripada Mohd Redzuan dan Dr. Shahruddin tentang khabar angin bahawa mereka akan meletakkan jawatan dan menyokong Tun Mahathir.
Biasanya jika mereka benar-benar tidak mahu menyokong Tun Mahathir, mereka sudah pasti akan menafikannya dengan segera sebagaimana yang dilakukan oleh Rina Harun lewat petang semalam.
Tetapi mengapakah sehingga ini Mohd Redzuan dan Dr. Shahruddin tidak membuat apa-apa penafian, malah kenapa mereka begitu berani mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir dalam keadaan Pengerusi Bersatu itu dalam “zon perang” dengan Muhyiddin?
Adakah ini bermakna kedua-duanya hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan secara terbuka pendirian mereka?
Sementara itu, satu sumber lain memberitahu, meskipun tiada sidang media oleh Mohd Redzuan dan Dr. Shahruddin semalam, tetapi ia sama sekali tidak menjejaskan – diulang sekali lagi – sama sekali tidak menjejaskan jumlah nombor yang ada dalam dakapan Tun Mahathir dan PH untuk menjatuhkan Muhyiddin melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.
Kata sumber itu, tiada sidang akhbar tidak bermakna nombor sudah berkurangan.
Sumber itu memaklumkan lagi, jumlah angka yang ada dalam tangan sekarang tidak pernah berganjak berikutan ketiadaan sidang media semalam, sebaliknya kehadiran Mohd Redzuan, Dr. Shahruddin jika benar akan disertai dengan sokongan secara terbuka selepas ini, ia adalah bonus yang akan menambah-besarkan lagi jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen sedia ada.
Begitu juga dengan khabar angin yang sedang bertiup kencang bahawa ada tiga lagi menteri dan timbalan menteri akan menyusul dengan sokongan mereka, ia juga adalah bonus tambahan semata-mata.
Maka, apa lagi yang mahu dikata selain ungkapan – Sayonara Buat Muhyiddin!! (Shahbudindotcom 30/05/2020)