Ternampak ramai yang masih berbelah bagi tentang usaha untuk mengembalikan PH sebagai kerajaan, tidak kira sama ada melalui usul undi tidak percaya atau penyerahan Akuan Bersumpah atau SD kepada Yang Dipertuan Agong.
Bagi penyokong Perikatan Nasional atau PN, khususnya daripada UMNO dan Pas yang tidak diundi untuk menjadi kerajaan dalam PRU14 lalu, mereka nampaknya cukup marah dan tidak senang dengan perkembangan terkini yang memperlihatkan Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim dilaporkan sudah ada cukup nombor untuk mengambil alih semula kerajaan.
Kata mereka, buat apa diganggu kerajaan PN yang baru saja berusia tidak sampai tiga bulan umurnya, ditambah lagi dengan masalah ekonomi dan ancaman wabak Covid-19 yang sedang melanda ketika ini.
Sepatutnya, tambah mereka, semua pihak hendaklah berhenti berpolitik dan berilah peluang kepada PN dan Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri menguruskan negara ini sehingga tiba tarikh PRU15 akan datang.
Waktu pilihanraya nanti, kononnya berpolitiklah sepuasnya dan ambillah balik kerajaan ini jika diberi sokongan oleh pengundi.
Mereka ini terlupa agaknya bahawa PN menjadi kerajaan ini pun bukan dengan cara pilihanraya, sebaliknya melalui kerakusan politik di luar proses pilihanraya.
Jika sudah menjadi kerajaan dengan cara menetup atap, kenapa mereka mesti takut atap yang sama ditebuk semula?
Yang peliknya, ada juga penyokong PH yang senada dengan pendirian mereka itu dengan turut mahu dilupakan dahulu soal politik dan membentuk kerajaan buat masa ini.
Mereka ini berhujah, PH sepatutnya menguatkan kedudukannya dan fokus kepada usaha merampas kembali kerajaan dalam PRU15 saja berbanding cuba mengambil baliknya sekarang.
Sama seperti UMNO dan Pas yang terlupa bagaimana mereka dapat jadi kerajaan melalui PN, penyokong PH ini juga nampaknya lupa bagaimana kerajaan mereka dirampas melalui pengkhianatan baru-baru ini.
Lebih buruk lagi, sudahlah PN ini menjadi kerajaan dengan tidak melalui pilihanraya, beberapa negeri juga dirampas dengan kaedah yang sama.
Tidak cukup dengan itu, di sebalik memberi nasihat agar kurangkan berpolitik atau rakyat dikata sudah muak dengan cerita-cerita politik, mereka dalam masa yang sama terus melambakkan habuan, jawatan dan kedudukan dalam GLC kepada penyokong-penyokong sendiri kerana bimbang kerajaan yang dirampas runtuh di tengah jalan.
Melihat semua kerakusan mereka itu, sebenarnya usaha mengembalikan semula PH menjadi kerajaan bukanlah sesuatu yang salah, malah suatu usaha murni lagi terpuji.
Yang salah ialah mereka yang merampas kerajaan yang sedang dipegang oleh PH di pertengahan jalan.
Dengan demikian, sama ada kita bersetuju dengan Tun Mahathir, Anwar, PH atau tidak, menyokong apa yang cuba dilakukan mereka sekarang iaitu untuk mengembalikan PH menjadi kerajaan semula adalah suatu kewajipan dalam perjuangan.
Tindakan Muhyiddin yang disokong oleh Azmin Ali sebelum ini membawa UMNO dan Pas bersama menubuhkan menubuhkan kerajaan adalah suatu pengkhianatan yang cukup nyata.
Mandat rakyat yang telah memilih dan mengundi PH untuk menjadi kerajaan serta menolak UMNO, Pas dan meletakkan mereka sebagai pembangkang hendaklah dikembalikan semula.
Jika UMNO dan Pas mahu menjadi kerajaan, mereka mesti menunggu PRU15 akan datang untuk melakukannya kerana mereka sekarang ini adalah pembangkang sebenarnya.
Sebaliknya adalah jatuh wajib dari segi politik dan perjuangan bagi PH untuk merampas semula kerajaan yang telah dirampas itu.
Sebab itu, usaha menjatuhkan PN dan menyingkirkan Muhyiddin yang sedang digerakkan oleh Tun Mahathir, Anwar dan PH sekarang ini mesti disokong dan ia tidak boleh dilengahkan-lengahkan begitu saja.
Melengah-lengahkannya bererti mengkhianati kepercayaan yang telah diberi pengundi sebelum ini di mana sehingga tahun 2023 hak menjadi kerajaan adalah milik PH.
(Shahbudindotcom 29/05/2020)