Calon PAS...pilihan kumpulan Erdogan

Menjelang pengumuman calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, angin politik kecang bertiup di dalam pakatan pembangkang berhubung dengan pemilihan calon. Walaupun komponen pakatan berkenaan iaitu PKR dan DAP menyatakan, calon PAS yang akan bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan, tetapi ia turut disusuli dengan desakan dan tekanan agar calon yang dipilih ‘memenuhi selera’ pakatan terutama iaitu PKR. Menurut sumber dalaman PAS, kepimpinan parti itu kini seolah-olah terbahagi dua dalam soal menentukan calon yang seharusnya diletakkan bagi menentang siapa sahaja calon UMNO yang bakal bertanding.


Ia dikatakan berpunca kerana adanya desakan daripada luar parti itu yang mahu mempengaruhi penentuan calon PAS yang bakal bertanding. Difahamkan kata sumber berkenaan, ‘tangan’ ketua pakatan pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat turut aktif dalam mencaturkan calon yang sepatutnya di pilih oleh PAS. Bermula dengan kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa calon pilihan beliau ialah Naib Presiden parti itu, Mohamad Sabu, ia dikatakan strategi awal kumpulan Anwar dalam PAS atau lebih dikenali dengan nama Erdogan untuk memastikan ‘geng Erdogan’ terpilih menjadi calon.


Usaha ini dikatakan dilakukan oleh seorang lagi Naib Presiden PAS, Husam Musa yang merupakan ketua kumpulan Erdogan dalam PAS dan ‘anak kesayangan’ Nik Aziz. Husam difahamkan telah mempengaruhi Nik Aziz membuat kenyataan agar Mohamad Sabu dipilih kerana mahu memastikan percaturan mereka agar kalangan kumpulan Erdogan lebih ramai berada di Parlimen bagi memudahkan agenda politik Anwar. Namun, mereka sedar, orang PAS Terengganu sudah tentu akan menolak Mohamad Sabu kerana mahukan anak tempatan bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.


Antara nama yang disebut-sebut oleh orang PAS Terengganu ialah Pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Mustafa Ali. Bagi memenuhi kriteria anak tempatan, kumpulan Erdogan turut mempengaruhi jawatankuasa PAS Pusat bahawa calon lain yang perlu diberi pertimbangan serius ialah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi. Dr Syed Azman pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya tahun 1999.



Kata sumber itu, percaturan yang dibuat amat licik dan teratur kerana walaupun kumpulan Erdogan tahu Mohamad Sabu akan ditolak, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang menjadi salah seorang orang kuat Erdogan perlu diberikan pertimbangan. Ini dikuatkan lagi apabila seorang pimpinan tertinggi PKR yang ditemui dan ditanya tentang calon PAS yang mempunyai peluang untuk menang pada pilinraya kecil tersebut secara terang terang berkata, jika PAS menamakan Mustafa Ali sebagai calon, ia akan memberi laluan mudah kepada UMNO. Sebaliknya, pemimpin PKR itu berkata, jika Dr Syed Azman dipilih, ia merupakan pilihan yang tepat.



Keadaan ini mudah difahami kerana Mustafa Ali adalah antara pemimpin PAS yang jelas tidak sealiran dengan Anwar. Bukti jelas ialah apabila Mustafa Ali pernah menolak usaha Anwar untuk menubuhkan kerajaan 19 September lalu. Mustafa dilaporkan berkata, penubuhan kerajaan baru oleh pakatan pembangkang pada 16 September ini seperti yang digembar-gemburkan oleh Penasihat PKR, Anwar Ibrahim tidak mungkin berlaku. “Saya kata (perubahan) tidak akan berlaku. Bila tiba 16 September ini boleh tengok saya betul atau dia (Anwar) betul,” ujarnya. Bukti ini jelas menyebabkan Anwar tidak senang dan PKR dikatakan tidak mahu PAS membuat keputusan memilih Mustafa menjadi calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Malah pemimpin PKR itu yang ditemui mendakwa, menjelang pengumuman calon PAS, Anwwar beberapa kali cuba menghubungi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi dikatakan Presiden PAS itu tidak menjawab panggilan berkenaan.


Berdasarkan senario tersebut, sumber itu berkata, kepimpinan PAS ini kini serba salah. PAS katanya, tidak mahu dilihat hanya mengumumkan calon tetapi hakikatnya, semua orang tahu calon tersebut adalah calon yang dipaksakan kepada mereka oleh kumpulan Erdogan. Apa yang jelas, jika PAS meletakkan Dr Syed Azman sebagai calon, walaupun beliau adalah ahli PAS tapi semua orang tahu beliau adalah calon yang dipaksakan kepada PAS oleh kumpulan Erdogan yang semakn menguasai kepimpinan PAS.

No comments: