PENGANGKUTAN AWAM: KERAJAAN KOMITED UNTUK MENCAPAI 40% PENGGUNAAN PENGANGKUTAN AWAM MENJELANG 2030



Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam melaksanakan komitmen untuk mentransformasi landskap pengangkutan awam di Malaysia, dengan penekanan khusus di Lembah Klang. 


Masalah kepadatan kereta api dan ketersediaan bas yang masih pada tahap rendah menyebabkan kadar pemilikan kereta di Lembah Klang adalah antara yang tertinggi di dunia. Di Lembah Klang, hanya terdapat 0.21 bas yang beroperasi bagi setiap 1,000 orang. Perkhidmatan ini meliputi 323 laluan, namun hanya 9% laluan mempunyai kekerapan 1-15 minit, 63% beroperasi setiap 16-30 minit, dan 28% lagi melebihi 30 minit.


Bagi perkhidmatan kereta api, jika panjang laluan rel dibahagikan dengan keluasan geografi, ketersambungan rel di Lembah Klang hanyalah 7.9 meter bagi setiap kilometer persegi berbanding negara-negara maju seperti United Kingdom (67.5 meter setiap kilometer persegi) dan Singapura (352 meter setiap kilometer persegi). Secara keseluruhannya, hanya 55% Lembah Klang diliputi oleh perkhidmatan rel dan bas, meninggalkan banyak kawasan tanpa sebarang bentuk ketersambungan pengangkutan awam.


70% daripada keseluruhan kapasiti landasan tren penumpang tidak digunakan pada masa ini di Semenanjung Malaysia, dengan hanya 68 tren penumpang beroperasi di seluruh negara.  


Sasaran telah ditetapkan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019 - 2030 untuk mencapai 40% penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2030.  


Bagi mencapai sasaran ini, Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Pengangkutan telah menjalankan satu bengkel strategik pada 17 Mei 2024, bagi mengenal pasti pelaburan utama yang diperlukan untuk meningkatkan dan memperluaskan rangkaian pengangkutan awam.


Sejajar dengan itu, sebuah pelan komprehensif sedang dibangunkan, merangkumi strategi pelaburan dan pelan pelaksanaan yang menyeluruh. Pelan ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 1 Julai 2024. 


Kerajaan sedang mempertimbangkan peningkatan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam: perkhidmatan bas, rangkaian rel, dan ketersambungan ‘first and last mile’ yang bersepadu. Untuk perkhidmatan bas, usaha akan meliputi pengembangan ketersambungan dan liputan, peningkatan ketersediaan dan konsistensi, serta memperkenalkan lorong khas bas bersama sistem Kuala Lumpur Autonomous Rail Transit (KL ART) dan Bus Rapid Transit (BRT).


Rangkaian rel akan juga diperluas untuk meningkatkan perkhidmatan dan mempertingkatkan pengalaman penumpang. Selain itu, kerajaan akan menaik taraf hentian bas, laluan pejalan kaki, serta memperkenalkan Demand-Responsive Transit (DRT), perancang perjalanan bersepadu, dan pilihan mikromobiliti bagi memastikan ketersambungan yang lebih lancar dan cekap.


Bagi mencapai 80% penggunaan landasan keretapi di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2030, Kerajaan merangka rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan tren penumpang di Malaysia secara berfasa antara 2024 hingga 2030 dan mensasarkan jumlah tren penumpang yang beroperasi di seluruh negara mencapai 299 tren penumpang.


Inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti dalam pelan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, memastikan pendekatan yang teratur,  selaras dengan matlamat ekonomi dan pembangunan negara. Usaha ini akan menjadi salah satu tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan.


Sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja penting untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kelestarian alam sekitar, tetapi ia juga merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi. 


RAFIZI RAMLI

14 OGOS 2024



No comments: