Kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak akan tumbang jika Barisan Nasional (BN) memenangi PRK Nenggiri 17 Ogos ini, kata Azalina Othman Said.
Ketua penerangan Umno berkata, sebaliknya calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, jika menjadi wakil rakyat mampu menjadi jambatan penghubung dengan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dalam usaha memajukan lagi Nenggiri.
Tak hilang kerajaan negeri PAS kalau BN menang, kepimpinan mereka tetap ada, katanya ketika berkempen di Kampung Limau Kasturi.
“Kalau BN menang, kita nak kesinambungan wakil rakyat negeri sama dengan pusat boleh bersuara.
Saya harap pengundi akan memilih individu berpengalaman yang fokus berkhidmat dan dapat membantu memajukan kawasan.
Beliau turut mengingatkan pengundi Nenggiri hal pembangunan kemudahan dan prasarana seperti hospital serta sistem perparitan masih bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
(Jadi) apabila kita pilih Adun mewakili suara kerajaan pusat, (kerja jadi) lebih mudah, katanya.
Azalina berkata, pembangunan Nenggiri ketinggalan sejak 2018 apabila gabungan selain BN mula memegang tampuk pemerintahan pusat.
Pembangunan di kawasan itu tambah terbantut apabila Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri pada PRU15 dan PRN lalu.
Justeru, beliau memberitahu pengundi Nenggiri jangan terikut-ikut perasaan atau terpengaruh hasutan pihak tertentu apabila memilih wakil rakyat baharu pada PRK Sabtu ini,
(Jangan) memilih hanya kerana ‘marah nyamuk, bakar kelambu’, (terpengaruh dengan) individu yang bercakap itu dan ini mengenai (Umno-BN), katanya tanpa merujuk mana-mana pihak.
Seramai 20,259 pemilih layak mengundi pada PRK Nenggiri yang menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Azmawi mewakili BN dan calon PN Rizwadi Ismail.