Tuduhan tidak bermoral PMX: AMK Pulau Pinang selar ADUN Pas

 

Oleh: Abdullah Zaid



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang menyelar sikap biadap oleh seorang ADUN Pas yang mendakwa Perdana Menteri sebagai peliwat.



Ketuanya berkata, sikap tidak bermoral ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim @ Md Hashim itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan beliau datang daripada parti berimej Islam.



"Tindakan tersebut menunjukkan ketiadaan akhlak sekaligus mempamerkan ketidakmatangan yang sepatutnya menjadi asas bagi seorang pemimpin yang kononnya dari parti Islam.



"Lebih menyedihkan apabila seorang tokoh dan figura politik yang meletakkan nilai dan akhlak Islam sebagai asas dan tonggak perjuangan memilih untuk merendahkan, menfitnah dan mengaibkan martabat individu dengan tuduhan tanpa bukti yang kukuh dan asas," katanya dalam satu kenyataan.



Untuk rekod, tular tangkap layar pemimpin Pas itu mendakwa dalam satu ciapan mempersoal kesetiaan penyokong kerajaan dengan menuduh Perdana Menteri sebagai peliwat.



Ciapan tersebut sekali gus mengundang pelbagai kecaman dan kritikan warga maya termasuk ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.



Susulan itu, Fadzli menyarankan agar pemimpin Pas itu meneliti semula karangan Presiden Pas Tan Sri Haji Hadi Awang berkenaan tuduhan liwat itu.



"Ia sebagai satu usaha untuk meningkatkan pemahaman tentang tuduhan qazaf yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujarnya.



Tegas Fadzli, pemimpin Pas itu seharus mengeluarkan kenyataan maaf serta merta di atas keterlanjurannya mengeluarkan tuduhan berkenaan.



"Kami juga menggesa beliau untuk segera bertaubat dan tidak bermudah-mudahan dalam melemparkan tuduhan qazaf terhadap seseorang tanpa pembuktian yang jelas dan nyata.



"Selain itu, kami juga menasihatkan supaya beliau bergiat aktif dalam menjalankan tanggungjawab seorang ADUN menyelesaikan permasalahan setempat dan rakyat di kawasan beliau yang masih lagi menjadi persoalan, bukannya sibuk bermain api politik dan permusuhan dengan menfitnah," ujarnya lagi.