PEGAWAI NGA KOR MING CALON PH DI KKB, KEPUTUSAN DAP TINDAKAN TERPUJI



Semalam DAP telah mengumumkan secara rasmi cakonnya yang akan bertanding dalam PRK Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei depan.


Calon yang dinamakan itu ialah Pang Sock Tao, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming.


Agaknya sebab itulah Nga Kor Ming menjadi satu-satunya menteri kerajaan madani, bahkan yang paling awal turun membawa jajan kepada pengundi KKB dengan mengumumkan peruntukan berjumlah RM5.2 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor pada 18 April lalu:


Bagaimanapun, dengan keputusan mencalonkan Pang ini, pujian harus diberi kepada DAP kerana ia adalah suatu tindakan yang berani.


Pertama, walaupun ada cadangan daripada seorang pemimpin PH/PKR Selangor, Borhan Abu Samah agar DAP meletakkan calon Melayu di KKB berdasarkan situasi politik semasa dan peratusan pengundi Melayu yang tinggi di kawasan itu, tetapi DAP nampaknya menolak idea perkara tersebut.


Dengan meletakkan Pang sebagai calon, DAP terlihat tidak berganjak daripada pendirian untuk terus melindungi dan mengutamakan kepentingan penyokong terasnya iaitu kaum Cina.


Tambahan, wakil rakyat KKB sejak dulu lagi sama ada semasa DAP atau MCA, ia adalah kerusi yang sentiasa dipegang oleh kaum Cina.


Ertinya, DAP tidak terpesong daripada pendirian mengutamakan status quo untuk kaum Cina, sambil menampakkan pendirian tidak terbuai dengan sentimen politik semasa mungkin memberi ancaman kepadanya.


Walaupun mungkin berdepan cabaran yang hebat berikutan pencalonan Pang itu, terutama jika PN meletakkan calon Melayu, ketegasan pendirian DAP dalam hal ini wajar diberikan sanjungan.


Parti itu ada pendirian yang tegas dan tidak mudah goyang dengan sentimen semasa.


Yang kedua, sebagaimana kita tahu sejak kebelakangan ini, Nga Kor Miing adalah sosok dalam DAP yang sering menjadi sebutan di kalangan orang Melayu berikutan beberapa isu yang terkait dengannya seperti cadangan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Unesco dan isu stoking bertulis kalimah Allah.


Cadangan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Unesco oleh Nga Kor Ming mendapat tentangan yang menyeluruh daripada orang Melayu, terutamanya UMNO sehingga akhirnya cadangan tersebut “termati” begitu saja.


Dalam isu kalimah Allah pula, Nga Kor Ming adalah pemimpin DAP yang paling awal menyerang Dr Akmal Saleh dalam isu tersebut dengan mengatakan UMNO akan lebih kehilangan sokongan dalam PRU akan datang sehingga Ketua Pemuda UMNO itu kemudiannya melabel Ahli Parlimen Teluk Intan itu sebagai “menteri bodoh.”


Dengan itu, keputusan DAP meletakkan pegawai Nga Kor Ming sendiri sebagai calon adalah tindakan yang amat berani, terpuji dan jarang ada parti lain punya keberanian sebegitu.


DAP nampaknya tidak tertekan dan langsung tidak ambil pusing dengan pertelingkahan Nga Kor Ming dengan Dr Akmal dan UMNO, lalu dengan berani meletakkan pegawai menteri yang tidak disukai UMNO itu sebagai calonnya di KKB.


Malah, dengan meletakkan Pang juga, DAP terlihat sama sekali tidak takut jika Pemuda UMNO atau Dr Akmal tidak datang membantu sepanjang tempoh kempen di KKB nanti.


Pendirian ini membuktikan DAP sangat yakin dengan kekuatan yang dimilikinya di kalangam pengundi Cina, sambil hanya mengharapkan sedikit sokongan daripada pengundi Melayu dan India bagi memastikan kemenangan diperolehi.


Apa pun, sementara PN dijangka meletakkan calon Melayu daripada Bersatu dan PRK KKB pasti akan menjanjikan persaingan yang sengit dan mendebarkan berbanding enam PRK yang diadakan pasca PRU15 sebelum ini, keputusan DAP meletakkan pegawai Nga Kor Ming sebagai calon adalah tindakan yang jauh lebih mengundang tarikan ramai.


Yang pasti, KKB akan menjadi subjek perbualan yang menarik sehingga 11 Mei depan, tetapi jika kalah dalam keputusannya nanti, masa depan DAP serta PH akan menjadi isu gantian yang lebih menarik untuk diperkatakan, mungkin berpanjangan sehingga PRU16 akan datang. – ShahbudinHusin 25/04/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/25/pegawai-nga-kor-ming-calon-di-kkb-keputusan-dap-tindakan-terpuji.html



No comments: