SIASATAN TAK DIHENTIKAN, SPRM SERAH KEPADA PEGUAM NEGARA UNTUK KEMBALIKAN KES ZAHID HAMIDI KE MAHKAMAH

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengembalikan semula kes mahkamah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini, tahun lalu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang boleh dilakukan terhadap kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri itu, susulan keputusan Mahkamah Rayuan semalam, yang memerintahkan tuduhan salah guna kedudukan membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan oleh pegawai SPRM berhubung kes Ahmad Zahid juga tidak dihentikan.

“Kita serahkan kepada AGC untuk membuat keputusan (kes mahkamah Ahmad Zahid). Buat masa sekarang pegawai kita masih menyiasat, seperti apa yang kita nyatakan dalam mahkamah,” katanya.

Beliau ditemui media selepas perasmian Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

September lalu, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Pejabat Peguam Negara menjelaskan, permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Ahli Parlimen Bagan Datok itu daripada keseluruhan 47 tuduhan itu dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima oleh mahkamah dan disifatkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sebagai kukuh.

Mahkamah Rayuan semalam memerintahkan kes salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Parti BERSATU berkaitan Projek Jana Wibawa yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara dalam membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwa raya selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Presiden Parti BERSATU itu daripada empat pertuduhan berkenaan pada 15 Ogos tahun lalu. 

Pada 15 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti BERSATUberkaitan Projek Jana Wibawa selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Mengulas lanjut mengenai kes Muhyiddin itu, Azam berkata tarikh perbicaraan akan diputuskan selepas perbincangan bersama antara Peguam Negara, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) SPRM yang terbabit dan peguam Ahli Parlimen Pagoh.

“Tarikh perbicaraan selepas perbincangan antara mereka pada masa akan datang,” katanya.

Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1218058/saranan-kembalikan-kes-ahmad-zahid-sprm-serah-kepada-agc#

 

No comments: