ELOKLAH DIADAKAN PRK DI ENAM KAWASAN LOMPAT SOKONGAN ITU…

 

Setakat ini tiga daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang melompatkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bersedia untuk mengosongkan kerusi masing-masing jika pindaan perlembaan parti itu pada 2 Mac ini membuatkan mereka tiada pilihan lain.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman.

Ini bermakna, ketiga-tiga Ahli Parlimen ini tidak mahu berpatah balik menyokong Bersatu dan PN yang telah memenangkan mereka sebagai Ahli Yang Berhormat pada PRU15 lalu.

“Daripada kami tarik balik sokongan (kepada Anwar) dan kembali menyokong pihak asal (BERSATU) yang tak boleh buat apa-apa, kami rela rakyat yang buat keputusan (melalui pilihan raya).

“Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi sekiranya ia kenyataan yang perlu diterima,” kata mereka.

Pokoknya, mereka tidak akan berganjak darioada memberi sokongan kepada Anwar yang telah diputuskan sebelum ini.

Berdasarkan maklumat daripada beberapa sumber Bersatu, pindaan perlembagaan Bersatu yang akan dilakukan esok (2 Mac) hampir memberi tiada pilihan untuk enam Ahli Parlimen yang telah mengalihkan sokongan kepada Anwar itu.

Ia antara lain dikatakan menetapkan seseorang Ahli Parlimen yang merupakan ahli Bersatu tidak dibenarkan memberi sokongan kepada pihak lain selagi mereka masih ahli parti, melainkan perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Untuk mengelakkan daripada tergugur sebagai Ahli Parlimen, ia hanya boleh dilakukan dengan mereka kembali bersama Bersatu dan PN.

Dalam hal ini, kenyataan tiga Ahli Parlimen berkenan yang sedia mengosongkan kerusi mereka adalah suatu langkah terpuji.

Diharapkan selepas 2 Mac nanti, mereka tidak berlengah lagi berbuat demikian sebagai mengotakan apa yang telah dijanji itu.

Jangan pula nanti janji dicapati lagi dengan macam-macam alasan dan hujah rekaan.

Sebaiknya tiga lagi rakan mereka – Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnanin Abdul Khalid, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi yang turut mengalihkan sokongan kepada Anwar, sedia juga mengosongkan kerusi mereka.

Jika sudah begitu ketetapan pindaan perlembagaan Bersatu, tambahan lagi mereka pun masih ahli Bersatu sehingga sekarang, terima sajalah keperluan mengosongkan kerusi itu dengan hati yang terbuka.

Daripada segi maruah sebagai pemimpin pun, dengan peralihan sokongan yang dilakukan itu, hanya dengan meletakkan jawatan dan kemudian bertanding semula saja yang dapat membersihkan nama mereka semula.

Kalah menang dalam pilihan raya kecil nanti, biarkan rakyat menentu dan mengadilinya.

Di waktu yang sama, daripada segi tafsiran pindaan perlembagaan yang dibuat Bersatu nanti, diharapkan juga Speaker Parlimen, Johari Abdul tidak membuat tafsiran yang lebih memihak kepada kerajaan semata-mata, meski perlantikannya ke jawatan itu diputuskan oleh PH dan Anwar.

Tafsiran mestilah dibuat berdasarkan keadilan dan untuk memelihara maruah Ahli-Ahli Parlimen bersama gelaran Ahli Yang Berhormat yang mereka sandang.

Lagi pula, sebagaimana PH sebelum ini mengecam hebat kumpulan Azmin Ali yang khianat melalui Langkah Sheraton, menyimpan “enam jahanam” ini tidak pun memberi markah tambahan kepada Anwar dan kerajaan perpaduan di mata rakyat.

Apa lagi sokongan yang diberi itu hanya demi mendapatkan peruntukan dan kerana kerana ada kelompongan dalam akta lompat parti.

Maka, lebih baiklah ada pilihan raya kecil dan PH/BN mesti berusaha sebaik mungkin untuk merampas enam kawasan terbabit melalui cara yang sah lagi dihormati.

Jika PH/BN gagal sekali pun menang dalam semua enam pilihan raya kecil itu nanti, setidak-tidaknya semua sokongan yang bersama Anwar adalah asli yang masuk memberi sokongan melalui pintu depan, sekaligus meletakkan kerajaan madani lebih dihormati. – ShahbudinHusin 01/03/2024.



 

No comments: