MENGADAKAN LAWATAN KE LHDN SEMPENA HARI HASIL

 








Pagi ini saya meluncurkan Sambutan Hari Hasil ke-28 pagi ini anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL). 


Alhamdulillah, komitmen warga HASiL untuk menjayakan nilai kesaksamaan dan kesejahteraan selaras kerangka Ekonomi MADANI menyaksikan hasil kutipan cukai langsung mencatat sebanyak RM183.34 bilion — yakni angka terbesar dalam sejarah.


Saya amat faham bahawa isu cukai adalah perihal sensitif dalam kalangan rakyat, namun kita harus sedar bahawa cukai ini ialah instrumen penting bagi membolehkan Kerajaan memiliki ruang kewangan untuk memelihara kebajikan rakyat. Lebih banyak hasil cukai yang ada, lebih banyak manfaat Kerajaan boleh berikan kepada rakyat.


Hakikat ketika ini adalah hasil Malaysia jauh corot berbanding negara-negara lain. Hasil cukai kita yang bersamaan 11.2 peratus saiz ekonomi negara adalah jauh lebih kerdil ketimbang jiran kita Thailand yang mempunyai nisbah cukai kepada KDNK sebanyak 16.2 peratus. Singapura yang dikatakan rejim percukaian rendah juga mempunyai hasil cukai 12.6 peratus daripada KDNK.


Namun hasrat utama Kerajaan untuk memastikan keadilan dalam kutipan cukai dengan menoktahkan kekebalan golongan elit dan mahakaya daripada melunaskan tanggungjawab mereka kepada negara. Mereka tidak boleh culas membayar cukai. Golongan ini mungkin kecil bilangannya, namun harta yang digondol adalah teramat besar nilainya.


Walhasil, saya berterima kasih kepada HASiL kerana meletakkan matlamat utamanya pada tahun ini untuk melenyapkan ketirisan cukai daripada individu mahakaya, ekonomi bayangan dan pendapatan yang disimpan di luar negara. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada warga HASiL untuk melunaskan usaha murni ini.


#MalaysiaMADANI



No comments: